Perdana Menteri salur bantuan awal RM5,000 kepada mangsa kebakaran di Tambun

20 Sep 2026 • 7:05 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Perdana Menteri salur bantuan awal RM5,000 kepada mangsa kebakaran di Tambun

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan bantuan awal RM5,000 kepada keluarga tiga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Tambun, Perak.

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyumbangkan bantuan awal sebanyak RM5,000 kepada keluarga mangsa kejadian kebakaran yang mengorbankan tiga sekeluarga di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini awal pagi tadi.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri mewakili Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun kepada  wakil keluarga Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad.

Mohamad Hairul Amir berkata bantuan berkenaan merupakan sumbangan awal bagi meringankan beban keluarga yang kini berdepan kehilangan tiga ahli keluarga dalam tragedi itu.

“Insya-Allah esok pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan datang untuk membuat penilaian dan kita akan cuba membantu dari segi baik pulih rumah serta sumbangan lain yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata pihak pusat berkenaan juga bersedia membantu menyediakan tempat tinggal sementara sekiranya keluarga mangsa memerlukan penginapan sepanjang proses baik pulih rumah berkenaan.

“Kalau kita lihat keadaan dalam rumah ini, mungkin proses baik pulih mengambil masa yang agak lama. Jadi, pihak pusat khidmat mungkin akan bantu menyediakan tempat untuk mereka berteduh sementara sehingga proses baik pulih selesai,” katanya.

Mohamad Hairul Amir berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti bantuan yang sesuai untuk keluarga mangsa, termasuk kemungkinan mendapatkan khidmat kaunseling.

Beliau berkata pihaknya juga akan membantu urusan pengurusan jenazah kesemua mangsa.

Dalam pada itu, Mohamad Hairul Amir berkata Perdana Menteri menzahirkan salam takziah kepada keluarga mangsa serta meminta pihak pusat khidmat masyarakat membantu sebaik mungkin bagi membantu keluarga berkenaan.

Terdahulu, pasangan suami isteri warga emas dan cucu mereka maut dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan pada 4 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun dan Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Raja Ahmad Raja Ali, 70, Zaitun Mohamed, 64, dan cucu mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, manakala seorang mangsa Raja Ikhwan Hadi, 47, terselamat kerana dipercayai tidur di ruang parkir rumah berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved