Perdana Menteri Umum Peruntukan Tambahan RM50 Juta Perluas Program Rahmah

Politics
31 Jul 2023 • 5:54 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Bagi memperluaskan konsep Rahmah yang diusahakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, kerajaan telah membuat keputusan untuk meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.

Menurut laporan Harian Metro, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah itu dilakukan untuk memastikan setiap rakyat di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat manfaat daripada konsep tersebut.

image is not available

“Saya mahu perjuangan Rahmah ini diperluaskan… kementerian ada mengusulkan kalau boleh kita perluas di kawasan DUN, saya akan pastikan untuk menyegerakan pelaksanaan ini berperingkat dan kita luluskan tambah RM50 juta.

“Kita lakukan ini kerana ia menyentuh secara langsung golongan berpendapatan rendah kerana tidak ada makna bicara soal rahmah, tiada makna bicara soal perjuangan, tiada erti bicara soal ihsan, belas kasihan dan prihatin kalau soal makanan mereka (rakyat) pun tidak terjamin,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut demi menjaga kebajikan rakyat terutamanya golongan yang tidak berkemampuan untuk terus menikmati manfaat daripada program itu.

image is not available

“Pertahankan rekod dan tekad lagi. Ada kejayaan awal yang dilakukan dan perbelanjaan juga tinggi serta kerjasama ramai syarikat yang saya tak dapat nak sebut kerana ramai sekali.

“Saya beritahu Salahuddin (Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub) sebelum ini bila kerajaan ambil inisiatif Rahmah dan disambut oleh restoran, kedai dan toko-toko, saya sangat rasa terharu dan kita patut adakan satu majlis penghargaan kepada mereka,” ujarnya lagi.

image is not available

Sekadar info, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Semasa hayatnya, beliau sentiasa komited dalam memperjuangkan nasib rakyat terutamanya berkaitan dengan kos sara hidup.