Langkah kerajaan perluas konsep Rahmah tingkatkan capaian rakyat di setiap DUN

Politics
31 Jul 2023 • 3:56 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam meluaskan konsep Jualan Rahmah ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mampu meningkatkan capaian rakyat terhadap usaha kerajaan selain meringankan beban kos sara hidup.

Pengumuman peruntukan tambahan RM50 juta oleh kerajaan untuk memperluaskan konsep Rahmah menunjukkan Kerajaan Perpaduan peka dengan masalah dihadapi rakyat terutama golongan B40 dan sentiasa berusaha membantu mereka.

Menyambut baik usaha kerajaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan, PERLIS Gan Ay Ling berkata inisiatif kerajaan Madani memperluaskan perjuangan Rahmah dapat memperkasakan lagi usaha membantu golongan sasar sehingga peringkat akar umbi.

Beliau berkata peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta di bawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu juga membuktikan kerajaan peka dengan keperluan rakyat khususnya golongan miskin tegar.

“Dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah ada unsur ‘pilih bulu’ (memandang kedudukan), semua rakyat diberi perhatian tanpa mengira bangsa, agama fahaman poliltik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Gan berkata bagi peringkat DUN Indera Kayangan, pihaknya terus menjalankan kerjasama dengan komuniti setempat bagi memastikan tiada yang tercicir dalam mendapat manfaat daripada inisiatif Payung Rahmah seperti bakul Rahmah dan jualan Rahmah.

ADUN Semambu di PAHANG Chan Chun Kuang pula berkata jualan Rahmah yang telah diadakan empat kali di kawasan itu mendapat sambutan sangat baik kerana harga barangan ditawarkan lebih murah berbanding harga pasaran.

“Bila dilaksanakan dengan kerjasama pejabat Adun, ia lebih baik kerana kami boleh mencadangkan lokasi sesuai. Bila diperluaskan ke semua DUN, lebih ramai mendapat manfaat.

“Konsep Rahmah adalah komitmen kerajaan untuk membantu rakyat buat masa ini dan apabila tiba masanya, saya harap kerajaan dapat mencari penyelesaian jangka panjang seperti meringankan beban peniaga serta pengusaha supaya harga barangan dapat dikawal secara kekal,“ katanya.

Seorang pengusaha gerai makan di Raub, Umi Kalsom Abu, 49, berkata program seperti itu wajar diperluas dan diteruskan kerana ia mencapai tujuan pelaksanaannya iaitu meringankan beban rakyat terutama golongan B40 berdepan peningkatan kos sara hidup.

Dia yang kali pertama ke Jualan Rahmat di Dong, Raub pada 22 Julai lepas sememangnya berharap agar program seperti itu dapat dilaksanakan dengan lebih kerap kerana ia mampu mengurangkan modal perniagaannya.

Di JOHOR, pekerja swasta, Mohd Azuwan Mohd Amin, 48, berkata perluasan insentif itu merupakan perkara tepat dilaksanakan kerajaan kerana dapat membantu rakyat dalam berbelanja dengan harga berpatutan.

“Jika konsep Rahmah ini hanya dilaksanakan di kawasan Parlimen, berkemungkinan ia tidak menyeluruh dan jika dilaksanakan di peringkat DUN, akan melibatkan pemimpin tempatan seperti penghulu, ketua kampung serta ketua masyarakat yang lebih mengetahui dengan terperinci setiap kawasan.

“Kalau di peringkat Parlimen, program yang berkaitan dengan konsep Rahmah ini mungkin hanya dilaksanakan di kawasan bandar-bandar atau pekan, namun jika diperluas ke kawasan DUN di kawasan luar bandar juga akan dapat merasainya,” katanya. -Bernama