MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada petang Isnin selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tengku Mahkota Ismail.
Maka bermulalah pesta demokrasi di negeri selatan tanahair itu untuk memilih wakil rakyat di semua 56 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Selepas penetapan rasmi tarikh penamaan calon dan hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual dalam masa terdekat, tumpuan pastinya akan terarah kepada siapa yang akan diumumkan sebagai calon bagi mewakili parti masing-masing.
Dengan komposisi DUN ketika ini iaitu Barisan Nasional (BN) memperoleh 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) dengan 12 kerusi, DAP (10), manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, ia tentunya akan menjadi pertembungan menarik.
Sebelum ini, Onn Hafiz secara rasmi mengumumkan bahawa BN Johor akan bergerak secara solo pada PRN kali ini.
Ia satu perkembangan menarik kerana di peringkat Persekutuan, Kerajaan Perpaduan terdiri daripada PH dan BN serta parti komponen sedang berusaha mengekalkan kesepakatan.
Ada yang melabelkan tindakan itu sebagai tidak menghormati kesepakatan sedia ada, namun tidak kurang juga yang menyambut baik langkah itu.
Melihat rekod pentadbiran sedia ada, Johor boleh dikatakan mempunyai score card yang bagus dari segi pentadbiran.
Inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor yang diperkenalkan dilihat memberi impak khususnya kepada golongan B40 selain kepimpinan Onn Hafiz yang jauh daripada kontroversi.
Pun begitu, terserah kepada lebih 2.7 juta pengundi untuk menentukan siapakah yang diyakini mampu mewakili mereka di DUN untuk tempoh lima tahun akan datang.
Apa yang pasti, jadikanlah PRN ini sebagai medan untuk menyuburkan demokrasi, jalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan buat pilihan terbaik.
Selepas ini fokus pemerhati akan beralih kepada negeri jiran, Melaka yang turut dijangka berdepan PRN apabila penggal pentadbiran semasa berakhir hujung tahun ini.



.jpg)


