.jpg)
KUALA LUMPUR - Spekulasi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian apabila Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, Seremban, hari ini.
Aminuddin tiba di istana kira-kira jam 9.05 pagi sebelum meninggalkan lokasi pada jam 10.47 pagi selepas selesai menghadap baginda.
Turut mengiringi Aminuddin ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, sekali gus mencetuskan perhatian dalam kalangan pemerhati politik dan petugas media yang mengikuti perkembangan semasa politik negeri itu.
Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan pertemuan berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia merupakan sebahagian daripada jadual rutin beliau setiap Rabu, sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri.
“Biasanya setiap hari Rabu saya menghadap Tuanku,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas meninggalkan istana.
Beliau dijangka memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara itu dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco yang berlangsung hari ini.
Perhatian terhadap perkembangan politik Negeri Sembilan semakin meningkat susulan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang dipengerusikan Aminuddin di kediaman rasmi Menteri Besar, semalam.
Mesyuarat tersebut berlangsung ketika timbul desas-desus bahawa DUN Negeri Sembilan mungkin dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam pada itu, setiaudaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin, mengesahkan perbincangan tertumpu kepada tahap kesiapsiagaan jentera PH bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Kami membincangkan persediaan jentera Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya.
Manakala, Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Datuk P. Gunasekaren, turut memaklumkan, mesyuarat berkenaan memberi fokus kepada perancangan operasi dan persiapan menghadapi kemungkinan PRN dalam masa terdekat.
Perkembangan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa parti-parti politik di negeri itu sedang memperkemaskan persediaan masing-masing meskipun tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pembubaran DUN.
Mengikut perlembagaan negeri, sebarang pembubaran DUN perlu mendapat perkenan Tuanku Muhriz sebelum proses pilihan raya negeri dapat dilaksanakan.
Setakat ini, pimpinan kerajaan negeri masih berhati-hati dalam mengulas isu berkenaan, namun siri pertemuan politik dan gerak kerja pilihan raya yang semakin rancak dilihat memberi petunjuk bahawa persiapan menghadapi PRN sedang giat dijalankan. - Getaran, 3 Jun 2026






