
KUALA LUMPUR: Pelakon, Aniq Suhair, 25, berpandangan sikap sebilangan besar perempuan zaman sekarang yang bersikap ‘demanding’ mengakibatkan ramai lelaki memilih untuk solo berbanding hidup berumah tangga.
Kata Aniq, lelaki, yang berusia 25 tahun dan ke atas serta baharu memulakan kerjaya tidak mungkin dapat melunaskan kehendak wanita yang tinggi justeru akhirnya selesa hidup sendiri.
“Sebenarnya, antara faktor ramai lelaki sekarang masih solo adalah kerana kebanyakan perempuan pada masa kini bersifat ‘demanding’.
“Sebenarnya, perempuan tak perlu bersikap demikian. Sebagai pasangan, kita perlu bersikap tolak ansur dan menerima lelaki itu seadanya.
“Tapi sekiranya itu sudah menjadi standard yang diletakkan, maka mungkin mereka boleh mencari pasangan yang mampu untuk dijadikan suami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disoal mengenai syarat penerbit, Datuk A. Aida yang meletakkan RM10 juta sebagai mas kahwin anaknya, Azeva, Aniq berpandangan ia hanyalah satu penolakan
“Saya faham, A. Aida meletakkan anaknya pada standard yang tinggi apabila meletakkan RM10 juta sebagai wang hantaran. Dalam erti kata lain, itu satu penolakan kerana dia belum bersedia melepaskan Azeva,” ujarnya.
Mengulas mengenai filem Bisikan Nasfsu yang menggandingkannya dengan Azeva, Aniq memaklumkan tiada gimik murahan digunakan untuk mempromosikan filem berkenaan.
“Kami tak perlu cipta gimik seperti bercinta di lokasi dan sebagainya. Tetapi jika penonton berpandangan kami ini serasi apabila digandingkan bersama, Alhamdulillah. Saya anggap itu sebahagian teknik pemasaran filem ini.
“Pada masa sama, jika ada penonton yang mendoakan jodoh antara kami, kami tetap berterima kasih. Jodoh itu Tuhan yang tentukan,” kongsinya.
Filem Bisikan Nafsu, yang turut menampilkan Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali dan ramai lagi akan menjengah pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober ini. – UTUSAN
The post Perempuan ‘demanding’ punca lelaki ramai membujang- Aniq Suhair appeared first on Utusan Malaysia.

