
Kota Kinabalu: Pemandu pelancong veteran, John Nair, menegaskan insiden kekecohan di Pulau Timba-Timba tidak boleh dipandang ringan sebagai pertelingkahan biasa, sebaliknya satu ancaman serius kepada industri pelancongan negeri.
Kejadian yang tular itu menyaksikan tiga individu ditahan selepas sekumpulan pihak bergaduh mengenai hak mengutip yuran pendaratan pelancong di pulau popular di Semporna itu. Pertelingkahan itu berlarutan hingga pergaduhan fizikal di hadapan pelancong sebelum polis campur tangan.
Nair berkata terdapat beberapa isu utama yang berlarutan tanpa penyelesaian, termasuk tuntutan pelbagai pihak terhadap kutipan “yuran pendaratan”, kewujudan pengusaha tidak berlesen walaupun diberi notis pengusiran, pertumbuhan tidak terkawal serta penguatkuasaan lemah.
Beliau memberi amaran bahawa perebutan kutipan yuran dan lambakan pengusaha tidak berlesen menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan pelancong serta pemain industri yang sah.
Nair yang berpengalaman puluhan tahun dalam sektor itu mencadangkan tujuh langkah untuk memulihkan semula keyakinan dalam pelancongan pulau Sabah.
Antaranya, mewujudkan satu pihak berkuasa pusat bagi mengawal selia, sistem tiket digital telus untuk pendaratan pelancong, hukuman tegas serta menyenarai hitam pesalah ganas, pendaftaran mandatori bagi pulau persendirian dan penguatkuasaan lebih ketat terhadap operasi haram.
Beliau turut menggesa kerajaan melibatkan komuniti tempatan dalam ekosistem pelancongan sah dan melancarkan kempen “Safe Islands Sabah” untuk meyakinkan pelawat antarabangsa.
“Kecemerlangan pelancongan Sabah bukan hanya kerana keindahan alam, tetapi juga keramahan rakyatnya. Kita tidak boleh membiarkan segelintir pelaku tidak bertanggungjawab dan ‘virus pelancongan’ merosakkan ekonomi, maruah dan reputasi negeri,” katanya.
“Agensi penguatkuasaan mesti bertindak tegas tanpa pilih kasih terhadap mereka yang mencemarkan nama baik Sabah. Pelancongan bukan sekadar keuntungan,” tegasnya.
Sementara itu, Parti Liberal Demokratik (LDP) turut menggesa kerajaan memperkukuh penguatkuasaan serta menambah baik kemudahan keselamatan di Semporna susulan insiden tersebut.
Naib Presiden LDP, David Ong, menyifatkan kejadian itu membimbangkan dan perlu dipandang serius kerana reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia bergantung kepada aspek keselamatan dan ketertiban.
“Jika insiden seperti ini berterusan, ia akan menjejaskan industri pelancongan dan ramai penduduk tempatan yang bergantung hidup daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong berkata, Pulau Timba-Timba terletak di luar kawasan penguatkuasaan Taman-Taman Sabah, sekali gus meletakkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa daerah, majlis tempatan dan agensi penguatkuasaan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai pertambahan pengusaha tidak berlesen di Semporna, termasuk perkhidmatan bot, syarikat pelancongan dan penginapan.
“Keadaan ini bukan sahaja berisiko kepada pelancong malah menurunkan piawaian keselamatan serta menindas pengusaha berlesen yang mematuhi undang-undang. Pihak berkuasa perlu memperketatkan penguatkuasaan dan memastikan hanya pengusaha berlesen dibenarkan beroperasi,” katanya.
“Kita perlukan penguatkuasaan lebih tegas, pengurusan lebih baik dan komitmen serius terhadap keselamatan supaya pelancongan di Semporna kekal mampan, selamat dan bermanfaat kepada semua,” tegasnya.

