
SHAH ALAM – Pergaduhan di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya yang tular pada 9 Oktober lalu bukan berpunca kerana isu perkauman, sebaliknya disebabkan pemotongan bekalan elektrik sebuah premis perniagaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) memotong bekalan elektrik premis berkenaan yang dipercayai dikendalikan suspek secara tidak sah.
Menurutnya, suspek kemudian berjumpa dengan pihak JMB meminta supaya bekalan elektrik disambung semula, namun ditolak kerana tindakan tersebut menyalahi peraturan.
“Suspek memanggil beberapa rakannya untuk berjumpa dengan pihak JMB dan penduduk. Jadi, tiada timbul isu perkauman dalam kejadian ini.
“Sebaliknya, ia berpunca daripada ketidakpuasan hati (berkaitan) pemotongan bekalan elektrik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menahan lima lelaki tempatan disyaki terbabit dalam pergaduhan tersebut, namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat- KOSMO! ONLINE
The post Pergaduhan di Taman Medan Jaya bukan isu kaum, tapi pemotongan bekalan elektrik appeared first on Kosmo Online.





