Makin ramai warga emas sunyi, mati tanpa disedari

LocalHealth & Fitness
13 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Makin ramai warga emas sunyi, mati tanpa disedari

PETALING JAYA – Isu kematian sunyi bukan lagi satu fenomena asing, malah mula mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia termasuk Malaysia terutama yang melibatkan golongan warga emas.

Fenomena ini merujuk kepada situasi i­ndividu meninggal dunia bersendirian di kediaman mereka tanpa disedari oleh sesiapa, sehinggakan ada mayat yang hanya ditemui selepas beberapa hari, minggu, atau bulan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 pula, daripada ke­seluruhan 4.1 juta rakyat berusia 60 tahun dan ke atas, hanya kira-kira 600,000 orang memenuhi lima kriteria ‘penuaan sihat’.

Mereka ini dikategorikan dalam pe­nuaan­ sihat kerana mempunyai sokongan sosial yang tinggi, tidak ada kekangan kognitif, bebas daripada kemurungan, mampu berdikari serta bebas penyakit kronik atau berpenyakit kronik yang terkawal.

Bagaimanapun, tinjauan sama merekodkan 18.8 peratus atau kira-kira 770,800 warga emas di negara ini tinggal bersendirian, iaitu peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus pada 2018.

Walaupun data NHMS 2025 menunjukkan 61.3 peratus daripada mereka mempunyai sokongan sosial yang tinggi, angka sama turut bermakna hampir empat daripada 10 warga emas tinggal bersendirian tanpa sokongan sedemikian, sekali gus merisikokan mereka kepada kematian sunyi.

Menurut laporan media, kebanyakannya hanya dikesan selepas orang awam mengadu tentang bau busuk dari dalam rumah sementara kelibat penghuni sudah beberapa hari tidak kelihatan.

Menurut laporan media yang memetik pakar Prof Madya Dr. Rahimah Ibrahim yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia, dianggarkan terdapat sekitar 3,500 kes kematian bersendirian setahun di seluruh Malaysia.
Pelbagai faktor dikaitkan de­ngan isu warga emas tinggal bersendirian, termasuklah trend penghijrahan anak-anak untuk mencari pekerjaan dan kehidupan sendiri.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami berkata, penghijrahan anak-anak untuk mendapatkan pekerjaan mewujudkan jarak fizikal yang boleh menyukarkan penjagaan harian warga emas.

Menurutnya, jurang penjagaan itu boleh menjadi kebimbangan apabila warga emas yang tinggal bersendirian tidak mempunyai sokongan keluarga dan komuniti yang teratur serta berterusan.

“Walaupun anak sentiasa te­lefon, video call dan sebagainya, mungkin secara fizikal ataupun berdepan mereka tidak melihat perubahan ibu bapa secara langsung, sama ada kesukaran berge­rak, mengurus diri ataupun menjalankan rutin harian,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan perubahan kesihatan yang dihadapi warga emas mungkin tidak disedari oleh anak-anak yang tinggal berjauhan, sekali gus melambatkan bantuan apabila diperlukan.

“Bagaimanapun, terdapat warga emas yang memilih untuk tinggal bersendirian di kampung kerana lebih selesa menetap di rumah sendiri berbanding berpindah ke rumah anak-anak.

“Mereka sudah biasa dengan persekitaran dan jiran tetangga,” katanya lagi.

Image from: Makin ramai warga emas sunyi, mati tanpa disedari
AHMAD AIZUDDIN

Menurutnya, sebahagian warga emas juga mungkin kurang selesa untuk berpindah ke rumah anak-anak kerana perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup dan rutin keluarga yang berbeza.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Raihani Mohamed pula berkata, penggunaan teknologi pintar boleh membantu mengesan perubahan rutin harian warga emas lebih awal.

Menurut beliau, sistem ber­asaskan kecerdasan buatan (AI) boleh mempelajari corak aktiviti harian seseorang sebelum mengesan perubahan luar biasa yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Kalau seseorang yang biasa­nya aktif tiba-tiba kurang berge­rak atau rutin hariannya terhenti, itu mungkin petanda bahawa dia memerlukan perhatian.

“Sistem boleh memberi amaran supaya keluarga atau penjaga membuat pemeriksaan,” katanya.

Image from: Makin ramai warga emas sunyi, mati tanpa disedari
RAIHANI

Beliau berkata, pemantauan tidak semestinya bergantung pada jam pintar kerana sensor pergerakan, sensor pintu dan peranti lain di dalam rumah juga boleh digunakan bagi memantau aktiviti warga emas tanpa memerlukan mereka mengendalikan peranti sepanjang masa.

Jelasnya, pangkalan data bersepadu pula boleh membantu memastikan amaran sampai kepada pihak yang dibenarkan, termasuk ahli keluarga, penjaga atau agensi berkaitan, mengikut tahap kecemasan.

The post Makin ramai warga emas sunyi, mati tanpa disedari appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved