
KES melibatkan 14 lelaki berlagak perempuan dengan berpakaian wanita di Kota Bharu merupakan antara tangkapan paling ramai yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik), tahun lalu.
Kesemua individu berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun itu didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu atas pertuduhan memakai pakaian wanita dan kes masih dalam perbicaraan.
Daripada kesemua lelaki itu, tujuh daripada mereka didakwa mengenakan pakaian lengan panjang ketat, seluar ketat, kasut tumit tinggi dan skirt pendek paras atas paha.
Jaheaik juga menahan seorang peniaga lelaki dari Kelantan selepas memakai pakaian dan berlagak seperti wanita di TikTok pada November tahun lalu.
Terbaharu, seorang lelaki orang kurang upaya lembam yang juga peniaga online ditahan selepas disyaki berlagak seperti wanita di pejabat Jaheaik.
Ketiga-tiga kes yang berlaku di Kelantan itu disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam syarie, Muhammad Syarafi Mohd. Salleh berkata, Seksyen 19(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 merupakan undang-undang yang bukan sekadar menghukum seseorang hanya kerana aspek berpakaian.
“Jadi, elemen paling penting adalah niat atau tujuan itu sendiri. Secara asasnya, enakmen itu diwujudkan untuk menjaga ketenteraman awam dan moral masyarakat, namun istilah tujuan tidak bermoral boleh ditafsir dengan luas.
“Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes-kes seperti ini, kebanyakan mereka tahu perbuatan itu melanggar undang-undang, namun tetap melakukannya.
“Sejujurnya, ramai tahu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, tetapi tidak sangkap akan ditahan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, di Terengganu misalnya, Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 menetapkan kesalahan itu mestilah dilakukan di tempat awam, namun melalui Pindaan 2022, elemen tempat awam itu telah digugurkan.
Jelasnya, di Pahang pula, Seksyen 33A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 (Pindaan 2022) terdapat penambahan seksyen baharu yang spesifik melarang lelaki berlagak perempuan dan sebaliknya iaitu perempuan berlagak lelaki atau pengkid.
“Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 merupakan adalah satu bentuk evolusi perundangan yang lebih menyeluruh berbanding peruntukan lama. Sebagai pengamal undang-undang, enakmen itu sudah cukup kuat dari segi punca kuasa dan jenis hukuman sekali gus menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam memelihara moraliti awam mengikut prinsip Syariah.
“Bagaimanapun, definisi berlagak seperti perempuan itu diperhalusi dengan lebih mendalam sama ada memakai aksesori wanita, atau merangkumi cara berjalan dan nada suara.
“Jadi, beberapa perkara yang tidak jelas dalam enakmen tertentu boleh diperbaiki untuk mengukuhkan kerjasama antara mahkamah, pihak penguat kuasa, dan jabatan kaunseling agar hukuman yang dijatuhkan benar-benar mencapai maqasid syariah iaitu memulihkan bukan sekadar menghukum,” ujarnya.
The post Perhalusi definisi berlagak ‘perempuan’ appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Penebar roti canai didakwa bunuh anak buah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-28-at-11.39.59-1-1024x576.jpeg)
