Saifuddin Nasution, Ramanan terima darjah kebesaran Kelantan

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 12:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saifuddin Nasution, Ramanan terima darjah kebesaran Kelantan

KOTA BHARU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan merupakan antara 767 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-57 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Kedua-dua menteri itu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk bersama tiga penerima lain.

Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md. Othman.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Seri Ab. Rahim Ab. Rahman pula dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan yang membawa gelaran Datuk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah bersama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail dan Bendahari Dewan Muslimat Pas Kelantan, Wan Ubaidah Omar pula menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan yang juga membawa gelaran Datuk bersama 10 penerima lain.

Seramai enam pegawai tinggi tentera dikurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan, manakala 16 individu dalam kalangan pegawai kerajaan negeri, Persekutuan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sektor perubatan awam serta swasta, menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan dengan kesemuanya membawa gelaran Datuk.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Datuk Mohd. Hairuddin Che Hamid pula menjadi penerima terakhir anugerah yang membawa gelaran Datuk apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan.

Pengerusi Apex Equity Berhad yang juga bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Seri Farhash Wafa Salvador turut dikurnia anugerah tertinggi, iaitu Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa, namun tidak membawa sebarang gelaran.

Seramai enam individu menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan, manakala 12 individu menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan termasuk ADUN Gual Ipoh Bahari Mohamad Nor, ADUN Guchil Hilmi Abdullah, ADUN Gual Periok Kamaruzaman Mohamad, ADUN Chempaka Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah dan ADUN Melor Wan Rohimi Wan Daud.

Sultan Muhammad V juga berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada 280 lagi penerima, selain bintang-bintang kepada 198 penerima dan pingat-pingat kepada 226 penerima.

Istiadat berkenaan turut menyaksikan pelantikan 12 orang Jaksa Pendamai, kemudian diteruskan dengan Istiadat Menjunjung Duli serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia yang diketuai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, sebelum keberangkatan pulang Sultan Kelantan bersama Keluarga Diraja Kelantan. – KOSMO! ONLINE

The post Saifuddin Nasution, Ramanan terima darjah kebesaran Kelantan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved