
KUALA LUMPUR - Kelemahan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) perlu diperhalusi agar perlindungan ke atas rakyat dapat diperketat, sekali gus membina semula keyakinan semua pihak.
Aktivis, Liyana Marzuki berkata, keputusan kerajaan untuk menangguhkan sementara RUU berkenaan adalah langkah bijak kerana memberi ruang untuk ia tampil sebagai undang-undang yang lebih baik buat rakyat.

Menurut beliau, orang ramai perlu lebih berhemat jika mahu menyuarakan sebarang bantahan atau memberikan sebarang sokongan.
“Kalau nak bantah, bantah atas fakta. Kalau nak sokong, sokong dengan hujah.
“Undang-undang yang baik lahir bukan dari propaganda, tetapi dari keseimbangan antara niat, teks undang-undang dan pelaksanaan nyata,” katanya.

Jelas bekas peguam itu, URA digubal bagi memberi kerajaan kuasa dari aspek perundangan untuk tampil secara sah sebagai orang tengah, sekali gus mengawal pemaju dan pada masa sama, melindungi hak rakyat.
“Kisah Kampung Baru misalnya, sejak awal 1900 ia diwartakan sebagai penempatan Melayu. Bila ada keperluan untuk dimajukan sering gagal dan menghimpit rakyat. Kenapa?
“Ini kerana kerajaan hanya bergantung pada Akta Pengambilan Tanah 1960. Pampasan (untuk penduduk) dipertikai dan pemaju boleh bertindak sesuka hati,” katanya.
Tegas Liyana, ketiadaan undang-undang khas untuk mengawal membuatkan kerajaan hanya mampu menjadi orang tengah dan ia membolehkan pemaju bertindak sesuka hati, manakala pemilik terus merasa tertekan.
“Sekarang kita lihat flat-flat lama Dasar Buku Hijau tahun 70-an, hari ini sudah lebih 50 tahun, banyak uzur, lif rosak, struktur retak. Pemilik asal ramai sudah meninggal, anak-anak tak lagi tinggal (di rumah itu).
“Nak bangunkan semula? Undang-undang lama perlukan 100 peratus persetujuan. Mustahil. Di sinilah lahir keperluan URA,” katanya.

URA tambahnya, mampu mengelakkan kes Kampung Baru dan flat uzur berulang kerana kerajaan diberi kuasa untuk mengawal, dan bukan sekadar orang tengah semata-mata.
“Ini bukan “rampasan tanah kosong”. Pemilik tidak hilang hak macam di bawah Akta Pengambilan Tanah. Mereka mesti ditawar rumah baru atau manfaat yang “not less favourable than” sebelum projek, malah mereka boleh pilih kekal di kawasan sama, kecuali sendiri mahu keluar.
“Pemaju pula tertakluk pada kawalan dan syarat ketat. Hasilnya, bandar terjaga dan kualiti hidup semakin meningkat,” katanya. - Getaran, 29 Ogos 2025

