SHAH ALAM, 4 SEPT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang dua perangkap berumpankan ayam bagi menangkap buaya di Tasik Seksyen 7 di sini.
Pengarah Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata pihaknya mengenal pasti reptilia berkenaan adalah dari spesies tembaga yang dianggarkan sepanjang 1.5 meter.

“Kita telah kenal pasti laluan aktif buaya ini hasil daripada pemantauan semalam 24 jam. Berdasarkan kajian perilaku buaya ini didapati pergerakan tidak jauh dari tebing tasik kira-kira tiga hingga lima meter.
“Susulan itu, kita pasang perangkap terapung untuk tangkap buaya ini tetapi kejayaan penangkapan bergantung kepada keadaan sekeliling dan sumber makanannya,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata pihaknya memasang jaring di lima muka pintu longkang bagi memastikan buaya itu tidak keluar dari kawasan tasik.
“Anggota penguat kuasa MBSA telah diarahkan berkawal di tasik ini sejak laporan diterima supaya orang awam tidak mendekati kawasan berhampiran.

“Kita juga menggerakkan aset seperti bot dan unit dron untuk pemantauan secara berkala selain bekerjasama dengan Perhilitan bagi memastikan buaya itu segera ditangkap,” kata Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.
Tambahnya, setakat ini dua kes berhubung kehadiran buaya di kesan di kawasan pentadbiran MBSA iaitu yang pertama pada 2019 di Taman Tasik Shah Alam.
The post Perhilitan guna umpan ayam tangkap buaya tembaga di Tasik Seksyen 7 appeared first on Selangorkini.

