Perhimpunan Agung PBB lulus resolusi tamat pendudukan Israel tempoh setahun

19 Sep 2024 • 9:20 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

HAMILTON (KANADA), 19 SEPT: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu secara majoriti meluluskan resolusi yang menggesa penamatan pendudukan “tidak sah” Israel dalam tempoh 12 bulan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Resolusi yang dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar, dengan 124 negara anggota mengundi menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali.

Resolusi ini turut disokong bersama oleh Turkiye serta lebih 50 negara anggota lain, yang menuntut pendudukan Israel ke atas Wilayah Palestin adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Menyatakan bahawa penempatan haram Israel juga melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi itu menegaskan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentukan nasib mereka sendiri di bawah Piagam PBB.

Resolusi itu menegaskan semula bahawa isu Palestin adalah “tanggungjawab kekal PBB” sehingga ia diselesaikan selaras dengan undang-undang antarabangsa, sambil menekankan keperluan segera agar Israel menamatkan pendudukan yang bermula pada 1967.

Resolusi berkenaan seterusnya menyeru Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk membentangkan laporan mengenai pelaksanaan resolusi itu dalam tempoh tiga bulan selepas ia diluluskan.

— BERNAMA-ANADOLU

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved