
KLANG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mengesahkan berlaku perhimpunan bagi mendesak siasatan terhadap insiden kematian seekor anjing yang dinamakan sebagai ‘Justice for Rocky’ di hadapan bangunan itu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, bagaimanapun perhimpunan tersebut diadakan secara aman berhubung kematian haiwan itu dalam operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Sehubungan itu, IPD Klang Selatan memaklumkan, polis sudah pun membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan kes yang dibangkitkan.
“(Justeru), polis memberi jaminan penuh siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak kepada sesiapa pun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau menambah, orang ramai dinasihatkan bertenang dan memberi ruang kepada polis melakukan siasatan dan proses perundangan yang sedang berjalan.
“Proses siasatan kini giat dijalankan bagi melengkapkan kesemua bukti, serta keterangan berkaitan. Kertas siasatan akan dirujuk dan dimajukan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
“Polis juga menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan. Tindakan sedemikian boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam serta gangguan kepada trafik di kawasan sekitar,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan prosedur operasi pengurusan haiwan liar akan diteliti semula melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selamat dan berperikemanusiaan.
Penelitian tersebut termasuklah aspek latihan, prosedur dan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkepentingan. – UTUSAN
The post Perhimpunan ‘Justice for Rocky’ di hadapan IPD Klang Selatan appeared first on Utusan Malaysia.






