
KLANG – Polis mengesahkan sekumpulan individu berhimpun secara aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan susulan kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, perhimpunan bertemakan ‘Justice for Rocky’ itu berlangsung kira-kira pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berhubung insiden berkenaan.
“Polis memberi jaminan penuh bahawa siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak mana-mana pihak.
“Proses siasatan sedang giat dijalankan bagi melengkapkan kesemua bukti serta keterangan berkaitan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan.
Ujarnya, tindakan sedemikian boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam serta menimbulkan gangguan kepada lalu lintas di kawasan sekitar.
“Justeru, semua pihak digesa bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video memaparkan keadaan perhimpunan pada malam hari di IPD Klang Selatan yang dikaitkan dengan insiden kematian anjing tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Polis sahkan himpunan ‘Justice for Rocky’ di IPD Klang Selatan appeared first on Kosmo Digital.






