
KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang peniaga ikan di TikTok mencuri perhatian ramai apabila beliau memberi peringatan awal kepada orang ramai supaya membuat persiapan lebih awal menjelang Ramadan yang bakal tiba.
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh akaun TikTok @ah.new.fishery.sd, lelaki tersebut memaklumkan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina (CNY) dan bulan Ramadan dijangka berlangsung serentak, sekali gus memberi kesan kepada pergerakan lori bekalan.
Menurutnya, pada minggu cuti perayaan CNY, kebanyakan lori tidak akan beroperasi seperti biasa, menyebabkan bekalan barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran berkemungkinan terjejas. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menunggu saat akhir untuk membeli barang keperluan, sebaliknya membuat persediaan lebih awal bagi mengelakkan kehabisan stok.
Difahamkan, umat Islam di Malaysia dijangka mula menunaikan ibadah puasa Ramadan pada 18 Februari 2026, yang secara kebetulan jatuh dalam tempoh cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari 2026.
Netizen Puji Sikap Prihatin Peniaga
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji sikap peniaga tersebut yang dianggap prihatin dan mengambil berat tentang keperluan pelanggan serta penduduk setempat.
“Ini tokey memang sehati dengan penduduk situ, mantap laaa,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi netizen berkata, “Pesanan yang bagus daripada tokey. Memang kena ingat, tak nak nanti ada yang putus stok di rumah atau kedai.”
Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan mengucapkan salam perayaan dan Ramadan secara serentak.
“Happy Chinese New Year bosku dan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua umat Islam. Semoga kita semua diberkati dan hidup dalam perpaduan,” tulis seorang pengguna.
Komen Seloroh Curi Tumpuan
Dalam pada itu, terdapat juga komen berseloroh yang mencuit hati netizen.
“Pagi-pagi nak beli ikan dah kena bebel,” tulis seorang pengguna disertai emoji ketawa.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung mengingatkan orang ramai tentang kepentingan perancangan awal, khususnya apabila dua perayaan besar diraikan dalam tempoh yang sama. – The Malaysian Update
The post Peringatan Awal Peniaga Ikan Menjelang Ramadan, CNY Serentak Tarik Perhatian Ramai appeared first on The Malaysian Update.


