Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE yang dijenamakan semula akan bermula esok

16 Oct 2023 • 4:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan mula dilaksanakan di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan pada 6 petang esok.

Ia adalah penjenamaan semula daripada Perintah Berkurung yang telah dilaksanakan di kawasan berkenaan mulai 16 Julai 2014 lalu, bertujuan menangani masalah pencerobohan serta mengekang ancaman pengganas Sulu dan penculikan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penjenamaan semula itu telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan Sabah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyambung semula Perintah Berkurung Sabah No.220 yang bertujuan memastikan kawasan perairan di Sabah tidak diceroboh dan diancam.

"Setelah penilaian keselamatan terkini dibuat, perintah kawalan pergerakan ini akan melibatkan kawasan perairan sama kecuali Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah tersebut yang memuaskan.

"PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan," katanya dalam satu kenyataan.

Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE Sabah termaktub di bawah subseksyen 31 (1) Akta Polis 1967 (Akta 344).

Pada Februari 2013, Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Ia membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh, selain kematian 68 pengganas Sulu. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. - 16 Oktober, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved