BATU GAJAH – Tempoh perjanjian persefahaman (MoU) selama 25 tahun melibatkan pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Tennoji Zoo Osaka (TZO) disifatkan munasabah.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tempoh berkenaan merupakan sebahagian daripada program konservasi jangka panjang yang melibatkan pembiakan spesies tersebut.
Menurutnya, kerjasama itu bukan sekadar penempatan haiwan, sebaliknya turut melibatkan pelan pembiakan bagi memastikan kelangsungan spesies gajah di peringkat antarabangsa.
“Dalam perjanjian ini, tiga ekor gajah terbabit kekal sebagai hak milik ZTNS sepanjang tempoh 25 tahun itu.
“Bagi program pembiakan pula, anak generasi pertama telah ditetapkan mengikut aturan tertentu iaitu anak pertama, ketiga dan kelima milik TZO, manakala anak kedua, keempat dan keenam milik kita,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Santai-Santai Open Day Ardea di projek perumahan Taman Tasik Ardea di sini pada Sabtu.
Mengulas dakwaan bahawa kerajaan negeri ‘menjual’ gajah berkenaan, Sandrea menegaskan kerjasama antara kedua-dua zoo itu tidak melibatkan sebarang transaksi komersial atau pulangan kewangan.
“Ini adalah perjanjian ‘zoo to zoo’ yang menjadi amalan biasa di peringkat antarabangsa bagi tujuan pertukaran haiwan dan konservasi.
“Ia tidak melibatkan wang ringgit, tiada komisen, tiada keuntungan dan bukan urusan jual beli seperti yang didakwa,” katanya.
Beliau berkata, salah faham berhubung isu tersebut timbul akibat penyebaran maklumat tidak tepat sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Sandrea memaklumkan kerajaan negeri tidak bercadang menubuhkan pasukan petugas khas bagi menilai keadaan tiga ekor gajah berkenaan di Jepun kerana mekanisme pemantauan sedia ada dilihat berfungsi dengan baik.
Katanya, ketika penghantaran ke TZO, mahut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut dihantar sebagai wakil negara untuk memantau keadaan haiwan berkenaan dan membantu proses penyesuaian.
“Pihak Zoo Tennoji juga mempunyai pasukan khas mengikut terma perjanjian, manakala Zoo Taiping menerima laporan berkala mengenai perkembangan semasa.
“Setakat ini, laporan menunjukkan ketiga-tiga gajah itu menyesuaikan diri dengan baik dan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sekretariat Himpunan Solidariti Bersama DAK menyifatkan tempoh MoU selama 25 tahun itu terlalu lama berbanding haiwan lain yang pernah terlibat dalam program tersebut seperti panda sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, Koordinator sekretariat berkenaan, Neow Choo Seong turut menggesa kerajaan menubuhkan segera satu pasukan khas bagi menjalankan audit bebas terhadap keadaan semasa DAK yang berada di TZO.






