Perjanjian Petronas-Petros bakal diumum dalam masa terdekat, kata Abang Johari

LocalPolitics
13 May 2025 • 5:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perjanjian Petronas-Petros bakal diumum dalam masa terdekat, kata Abang Johari

image is not available

13/05/2025 - 17:14

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) semasa merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Gambar/FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

KUALA LUMPUR 13 Mei - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjangkakan satu perjanjian penting antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, satu dokumen berkaitan perjanjian itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan dikeluarkan dalam tempoh dua hari lagi.

"Tunggu dua hari lagi. Dokumen mengenai perjanjian ini akan diumumkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini, seperti laporan The Borneo Post.

Abang Johari turut berkongsi sedikit maklumat mengenai kandungan perjanjian itu, yang menurutnya akan melibatkan pengiktirafan bersama undang-undang persekutuan dan negeri.

Beliau juga memaklumkan, perjanjian berkenaan akan memberikan Petros tanggungjawab untuk mengurus dan mengumpul bekalan gas dan Sarawak pula akan memiliki lebih banyak bahagian atau kepentingan dalam industri gas asli cecair (LNG).

"Saya cuma memberi sedikit bayangan. Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian," katanya.

Perjanjian tersebut akan dimeterai susulan mesyuarat yang berlangsung pada 9 Mei lalu di Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Abang Johari bersama barisan kepimpinan tertinggi Petronas dan Petros.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak telah bersetuju untuk memuktamadkan prinsip utama bagi melancarkan rundingan antara kedua-dua syarikat tenaga tersebut.

Kerjasama berkenaan dijangka membuka potensi besar, termasuk mempercepat bekalan tenaga komersial ke pasaran ASEAN.

Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk menyelesaikan semua isu tertunggak melalui perbincangan.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas,Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), atas dakwaan melanggar Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016.

Kerajaan negeri mendakwa, PCSB mengendalikan sebuah kemudahan di Miri tanpa permit yang sah. - DagangNews.com

featured standard