Satys, Airod jalin kerjasama perkukuh keupayaan aeroangkasa di Malaysia

09/05/2025 - 10:55
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg (berdiri tiga dari kiri) menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Satys Aircraft Painting dan Airod Sdn Bhd di Courtyard Marriott, Toulouse, Perancis. Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 9 Mei - Peneraju global dalam kerja cat dan penebat pesawat, Satys Aircraft Painting dan syarikat aeroangkasa Malaysia, Airod Sdn Bhd bekerjasama untuk meningkatkan keupayaan penyelenggaraan dan baik pulih pesawat di Malaysia, terutama dalam kemasan luaran dan pengecatan pesawat.
Usaha sama itu menggabungkan kepakaran Satys dalam kemasan permukaan pesawat dan keupayaan kejuruteraan Airod untuk menyokong sektor penerbangan komersial dan ketenteraan di seluruh Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif Satys, Christophe Cador berkata, usaha sama tersebut mencerminkan keyakinan pihaknya terhadap industri aeroangkasa Malaysia.
"Kerjasama ini menjadi penanda aras baharu dalam bidang MRO di rantau ini. Kami bangga dapat menjalin usaha sama dengan Airod," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan berlangsung di Courtyard Marriott, Toulouse, Perancis, disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Beliau yang sedang dalam lawatan kerja rasmi ke Perancis turut mengunjungi ibu pejabat ATR dan Kampus Airbus di Toulouse.
Pengarah Airod, Datuk Firhad Uzir Rahim pula berkata, kerjasama dengan Satys akan membawa teknologi dan perkhidmatan terbaik ke Malaysia.
"Ini adalah langkah penting dalam membangunkan sektor aeroangkasa negara, selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat aeroangkasa di Asia," jelasnya.
Usaha sama itu dijangka mencipta peluang pekerjaan, berkongsi pengetahuan dan membangunkan kemampuan, selaras dengan Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia serta menguatkan matlamat Sarawak dalam industri aeroangkasa yang berkembang pesat. - DagangNews.com
standard



