Perkara Anda Wajib Tahu Bila Kenderaan Bakal Ditarik

LocalCars
27 Dec 2024 • 2:55 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Perkara Anda Wajib Tahu Bila Kenderaan Bakal Ditarik

Mungkin tidak semua antara kita yang pernah mengalami situasi kenderaan bakal ditarik sama ada kereta atau motosikal. Namun, saban hari semakin banyak kejadian yang melibatkan penarikan kenderaan ini tular. Sama ada berlaku disebabkan penipuan mahupun penarik yang memang mempunyai kuasa menarik kenderaan tersebut.

Apabila menerima pemberitahuan kenderaan bakal ditarik, secara mudahnya tindakan ini bermaksud syarikat yang membelikan kenderaan tersebut bagi pihak anda atau dipanggil pemunya akan mengambil semula hakmilik kenderaan tersebut.

Penarikan ini berlaku sama ada penyewa gagal membayar ansuran penuh sebanyak dua kali berturut-turut atau gagal membayar ansuran terakhir. Keadaan ini turut berlaku apabila penyewa kenderaan meninggal dunia dan berlaku kegagalan membayar ansuran bulanan selama empat bulan berturut-turut.

Jadi jika anda tidak tergolong dalam kedua-dua kategori ini, jangan risau. Tiada pihak yang dibenarkan menarik kenderaan anda kerana mereka tidak mempunyai sebab yang kukuh.

Namun, jika anda mendapati kenderaan yang anda naiki berstatus seperti di atas, dan ada pihak yang tampil ingin menarik kenderaan tersebut, apa yang perlu anda lakukan? Berikut SK kongsikan beberapa perkara yang perlu anda tahu dan periksa untuk memastikan anda tidak tertipu dengan penarik palsu.

Kenderaan tidak akan ditarik secara tiba-tiba tanpa anda menerima notis bertulis

Menurut Jabatan Bantuan Guaman menerusi penerbitan ‘Hak Dan Tanggungan Di Bawah Akta Sewa Beli 1967’, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh pemunya, dalam perbincangan ini, institusi perbankan, perlu menyerahkan notis bertulis kepada penyewa. Notis tersebut mesti menyatakan hasrat pemunya untuk mengambil semula kenderaan mengikut Jadual Keempat Akta Sewa Beli 1967. Notis tersebut luput dalam masa 21 hari.

Dalam masa yang sama, anda akan menerima notis kedua selepas 14 hari dari tarikh notis Jadual Keempat tadi. Dalam notis kedua, pihak institusi perbankan sekali lagi menyatakan hasrat menarik kenderaan selepas notis pertama luput.

Jika anda ingin mengelak daripada kenderaan anda ditarik, anda perlu membuat pembayaran jumlah tertunggak seperti yang ada dalam Jadual Keempat. Pembayaran perlu dibuat sebelum tempoh 21 hari tamat. Anda juga boleh memulangkan kenderaan kepada institusi perbankan sebelum tarikh luput. Namun pemulangan kenderaan tidak bermaksud tiada lagi urusan antara anda dan pihak institusi perbankan. Anda perlu menjelaskan baki hutang selepas nilai kenderaan itu ditolak.

Ambil perhatian. Pastikan kedua-dua notis ini dihantar oleh institusi perbankan sendiri atau dihantar melalui pos berdaftar. Rujuk jadual di bawah tentang prosedur lengkap penarikan kenderaan.

Kredit: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Apa yang perlu anda kenal pasti jika anda gagal menjelaskan bayaran atau memulangkan kenderaan kepada institusi perbankan dan mengakibatkan kenderaan anda ditarik?

Perkara paling utama anda perlu cakna ialah bukan sembarangan pihak boleh menarik kenderaan anda

Hanya penarik yang menerima kuasa menarik kenderaan anda boleh bertindak demikian.

Tahukah anda? Rupa-rupanya setiap penarik perlu mematuhi ‘Garis Panduan Mengenai Perlantikan dan Perilaku Penarik’ yang dikeluarkan oleh Persatuan Syarikat-Syarikat Kewangan Malaysia. Jadi untuk memastikan penarik yang berada di hadapan anda bukan penarik palsu, kenal pasti beberapa perkara ini:

Pertama sekali, minta untuk melihat kad pengenalan, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan. Pastikan surat arahan ini dikeluarkan oleh institusi perbankan yang beri kebenaran kepada penarik untuk mengambil kenderaan anda. Institusi perbankan itu mestilah pihak bank yang anda selalu berurusan untuk pembayaran ansuran bulanan. Jika kenderaan tersebut atas nama ahli keluarga yang telah meninggal dunia, periksa terlebih dahulu dan pastikan institusi tersebut betul.

Selain itu, penarik hanya boleh hadir menjalankan tugas dalam jumlah yang sedikit dan mereka tidak boleh masuk ke dalam premis tanpa izin penghuni atau penyewa kenderaan. Malah, penarik juga perlu kelihatan profesional selain bertindak dengan profesional dalam situasi ini.

Untuk pengetahuan anda, penarik tidak boleh menggunakan sebarang kekerasan dan paksaan terhadap penyewa. Penarik juga perlu memberikan penyewa masa yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang peribadi daripada kenderaan yang bakal ditarik.

Akhir sekali, penarik perlu membuat laporan polis dengan kadar serta-merta setelah kenderaan ditarik. Kenderaan pula mesti dibawa ke tempat yang diarahkan oleh institusi perbankan.

Jika anda mendapati salah satu daripada perkara ini tidak dipatuhi oleh penarik, anda mempunyai hak untuk membuat aduan kepada institusi perbankan. Anda juga boleh mengemukakan aduan kepada Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia.

Apa kena buat selepas kenderaan sudah ditarik?

Jika inginkan semula kenderaan terbabit, apa yang anda perlu lakukan? Untuk pengetahuan, pihak bank kebiasaannya akan memberikan notis Jadual Kelima yang membolehkan anda untuk membayar balik jumlah hutang kepada mereka.

Bagi mendapatkan kenderaan itu, semua jumlah tertunggak termasuk belanja tunai langsung perlulah dijelaskan. Belanja tunai langsung adalah termasuk kos penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik yang ditanggung oleh pihak bank.

Selain itu, anda juga perlu membuat bayaran balik bagi jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung. Ia termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan dan penyelenggaraan.

Pun begitu, perlu diingatkan bahawa pihak bank berhak untuk menjual kenderaan terbabit jika anda atau penjamin tidak menyelesaikan jumlah seperti yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas ia dihantar kepada anda.

Ia kebiasaannya akan dijual menerusi lelongan awam.

Pihak bank juga boleh menawarkan harga yang lebih rendah daripada harga anggaran yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima jika anda ingin membelinya semula.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) (1) (2), Jabatan Bantuan Guaman

View Original Article