Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas

LocalHealth & Fitness
1 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas

Setiap insan berhak mendapat peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan, termasuk golongan banduan.

Sehubungan itu, pelbagai kursus dan latihan diberikan bagi membantu mereka berdikari serta mencari sumber pendapatan selepas dibebaskan.

Terbaharu, kemahiran penjagaan warga emas diperkenalkan kepada banduan wanita di Penjara Kajang menerusi inisiatif Pengerusi Agecope Wilayah Persekutuan, Che’ Puan Intan Safinaz Redzuan Ranjit.

Usaha yang digerakkan sejak lima tahun lalu itu mendedahkan mereka kepada bidang berkenaan yang berpotensi diterokai sebagai kerjaya pada masa depan.

“Malaysia kini menuju ke arah negara menua, justeru saya cuba memberikan latihan yang relevan dengan keperluan semasa kepada wanita dan golongan rentan, termasuk banduan.

“Sehingga kini, lebih 300 orang sudah dilatih dan besar harapan saya agar mereka dapat menjalani proses pemulihan dengan bermaruah, memperoleh pekerjaan serta tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Wanita Ikon Negeri 2026/2027 baru-baru ini.

Image from: Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas

Wanita Ikon Wilayah Persekutuan dan Pengarah Laman Khaira Care Centre itu berkata, kemahiran berkenaan bukan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan, malah boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Lebih-lebih lagi apabila berdepan ahli keluarga seperti ibu bapa uzur atau adik-beradik yang diuji dengan masalah kesihatan.

“Menariknya, dengan kemahiran ini, banduan wanita masih boleh berbakti kepada keluarga sambil menjana pendapatan.

“Mereka boleh menawarkan khidmat penjagaan secara sambilan mengikut kelapangan masing-masing tanpa terikat dengan pekerjaan tetap.

“Apatah lagi, bidang ini memang ada permintaan tinggi dan boleh dijadikan sumber pendapatan kepada mereka yang menceburinya,” katanya.

Intan Safinaz turut berbangga apabila kemahiran itu membuka jalan buat seorang banduan berusia 50 tahun yang sebelum ini merupakan gelandangan di Chow Kit.

Selepas 25 kali keluar masuk penjara, wanita itu kini mempunyai hala tuju baharu dengan menceburi bidang penjagaan.

Image from: Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas

Aktif anjur kelas masakan untuk B40
Pengalaman dalam bidang masakan mendorong Cef Imelda Harris berkongsi ilmu bagi membantu wanita memerlukan di Sarawak berdikari.

Wanita Ikon Sarawak itu berkata, antara yang dibantu termasuk mangsa keganasan rumah tangga yang kehilangan sumber pendapatan dan berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

Usaha itu digerakkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencungkil bakat memasak dalam kalangan golongan berkenaan.

“Memasak bukan sekadar mengenyangkan perut, malah bagi sesetengah individu, ia boleh menjadi sumber rezeki.

“Kita pernah membantu seorang wanita yang pandai membuat kuih sehingga dia berjaya mengembangkan perniagaan dan kini memiliki dua kedai serta empat pekerja.

“Kisah-kisah seperti ini membuka mata saya yang makanan juga boleh menjadi satu bahasa universal untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah lebih baik,” katanya.

Selain ilmu masakan, dia turut membimbing wanita dengan kemahiran keusahawanan bagi memulakan perniagaan dari rumah tanpa memerlukan modal besar.

Katanya, peserta diajar menggunakan bahan yang lebih murah misalnya menggantikan mentega dengan minyak dalam pembuatan biskut raya bagi mengurangkan kos pengeluaran.

“Bila bahan-bahannya murah, mereka boleh menjual biskut itu pada harga berpatutan dan mampu milik.

“Dengan cara ini, produk lebih mudah dipasarkan, sekali gus mengurangkan risiko kerugian dan memberi pulangan kepada mereka,” katanya.

Image from: Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas

Bangun aplikasi periksa kesihatan
Sementara itu, Wanita Ikon Terengganu, Dr. Raihana Ismail giat membangunkan aplikasi khas bagi membantu wanita memahami dan memantau kesihatan diri.

Menurutnya, aplikasi berkenaan dirancang sebagai satu platform yang menghimpunkan komuniti wanita untuk mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan dengan lebih mudah.

“Wanita melalui pelbagai perubahan hormon dan keadaan itu boleh mempengaruhi tubuh serta emosi pada setiap fasa kitaran haid.

“Jadi, penting untuk mereka memahami perubahan yang berlaku pada diri, termasuk mengetahui waktu subur dan perkara berkaitan perancangan kehamilan,” katanya.

The post Perkasa banduan dengan kemahiran jaga warga emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved