Perkasa Kerjasama, Malaysia Komited Perkukuh Keselamatan dan Peralihan Tenaga yang Adil

LocalEnvironment
26 Apr 2025 • 2:31 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Malaysia komited untuk memperkukuh keselamatan tenaga dan memimpin peralihan tenaga yang adil serta berdaya tahan di peringkat serantau dan global.

Komitmen itu dizahirkan semasa Sidang Kemuncak Summit for the Future of Energy Security yang berlangsung selama dua hari di London, dengan penyertaan pemimpin utama sektor tenaga dunia.

Delegasi Malaysia yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof, menyertai perbincangan strategik melibatkan integrasi sistem tenaga serantau, perubahan iklim, keselamatan bekalan elektrik dan teknologi baharu.

“Kami mengambil peluang di sidang ini untuk memperkukuh kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menerajui usaha merealisasikan Grid Tenaga ASEAN.
“Selain itu, Malaysia turut mempromosikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta memperkasa kerjasama dua hala menerusi pertemuan dengan pemimpin United Kingdom dan Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA),” katanya dalam kenyataan.

image is not available

Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus memimpin peralihan tenaga secara pragmatik dan progresif.

“Malaysia komited untuk memimpin peralihan tenaga rantau ini secara pragmatik dan progresif, dengan memberi keutamaan kepada kebolehcapaian, keterjaminan bekalan dan kemampuan pengguna,” jelas kenyataan itu.

image is not available

PETRA turut menyatakan bahawa penyertaan aktif Malaysia dalam sidang kemuncak tersebut mencerminkan pelaksanaan prinsip Malaysia MADANI, khususnya nilai-nilai kesejahteraan, kemampanan dan keterangkuman.

“Pendekatan pragmatik serta berpaksikan rakyat ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membentuk negara progresif, lestari dan inklusif demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan,” menurut kenyataan itu lagi.

image is not available

Dengan penyertaan ini, Malaysia terus memperkukuh peranan sebagai pemacu utama dalam membentuk masa depan tenaga yang bersih, mampan dan inklusif, seiring komitmen terhadap kerjasama serantau dan global.