Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sering menjadi mangsa stereotaip dan diskriminasi segelintir pihak.
Sedangkan hakikatnya, kumpulan ini juga mempunyai keupayaan dan kebolehan tersendiri sama seperti individu lain.
IWK Jalin Kerjasama Dengan MPM, Perkasa Keterangkuman OKU Menerusi ‘#WeThe15: Inclusive Together’
Bagi memperkasakan keterangkuman golongan OKU, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah berganding bahu menerusi inisiatif #WeThe15: Inclusive Together.
WeThe15 merupakan gerakan global mewakili 15% penduduk dunia yang terdiri daripada OKU bagi menangani diskriminasi serta memperjuangkan hak dan peluang sama rata golongan istimewa itu.

Jalinan kerjasama ini merupakan satu usaha untuk memperjuang kesaksamaan peluang, mengiktiraf keupayaan golongan OKU serta menggalakkan lagi penyertaan mereka dalam masyarakat.
Malah, langkah ini juga selaras dengan pelaksanaan program Sahabat Istimewa IWK yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK di bawah naungan IWK Cares.

Mahu Pecah Stereotaip Serta Pejuang Hak Sama Rata Golongan OKU Jadi Hasrat IWK & MPM
Menerusi usahasama ini, IWK dan MPM berhasrat mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keterangkuman OKU serta menghapus stereotaip dengan menyerlahkan bakat, pencapaian serta sumbangan golongan istimewa itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Ir. Narendran Maniam, langkah ini juga menggambarkan komitmen bersama bagi membentuk masyarakat inklusif di mana setiap orang diberi peluang sama dalam kehidupan.

“Menerusi program Sahabat Istimewa IWK dan kerjasama dengan MPM, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran serta membuka lebih banyak peluang bermakna kepada golongan OKU untuk melibatkan diri dalam masyarakat.
“Keterangkuman bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi juga memastikan setiap individu diiktiraf, dihargai dan diberikan peluang untuk menyumbang dan mengembangkan potensi diri,” katanya.
IWK Beri MPM Peluang Guna Kemudahan, Bakal Buka Peluang Pekerjaan Golongan OKU
Jelas Narendran, usaha sama ini membuka ruang buat MPM untuk menggunakan fasiliti atau kemudahan yang terdapat di IWK Eco Park, Pantai Dalam.

Malah, beliau turut memberi gambaran bahawa IWK bakal membuka lebih peluang pekerjaan kepada golongan istimewa di syarikat itu.
“Kita dah mula melihat kemungkinan melantik kakitangan IWK yang kurang upaya, contohnya saya ada tea lady yang pekak dan bisu tetapi dia boleh buat teh dan kopi yang sedap.
“Kami nak beri peluang pekerjaan yang mampu dibuat golongan OKU ini,” katanya.
Mahu Tarik Minat & Sokongan Orang Ramai Terhadap Sukan Paralimpik
Jalinan kerjasama ini juga turut mendapat respon positif daripada Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.
Manakan tidak, usaha sama ini dilihat mampu meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan para dan meraikan pencapaian atlet apatah lagi Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Para ASEAN 2027.

“Sukan merupakan wadah ampuh untuk mengetengahkan kebolehan dan pencapaian golongan OKU.
“Menjelang penganjuran Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027, program #WeThe15: Inclusive Together dapat meningkatkan kesedaran masyarakat serta memupuk sebuah masyarakat yang lebih inklusif.
“Kami memuji langkah IWK dalam menyokong inisiatif ini, sekali gus membuktikan peranan tanggungjawab korporat dalam memperkukuh keterangkuman golongan OKU serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan ini,” katanya.
Majlis sama turut menampilkan demonstrasi sukan dan aktiviti penglibatan komuniti yang menghimpunkan pihak berkepentingan serta masyarakat umum untuk merasai sendiri pengalaman bersukan dan penyertaan bersama atlet paralimpik Malaysia.
Antara demonstrasi sukan yang diadakan adalah badminton, ping pong, dan boccia.



Ketika majlis berlangsung, beberapa pameran dan gerai jualan membabitkan persatuan serta golongan OKU turut dibuka di pekarangan IWK Eco Park.
Antaranya Yayasan Chow Kit (YCK), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan gerai Cendol Meleleh yang diusahakan dua beradik, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi serta Nik Haziera Saffiya yang sebelum ini pernah tular kehilangan sebelah kaki selepas terbabit kemalangan pada tahun 2024.






