
LAHAD DATU: Ekosistem pendidikan di Lahad Datu perlu terus digembleng menerusi kerjasama sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin tempatan bagi mewujudkan peluang lebih luas bagi golongan muda kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal.
Beliau berkata pendidikan perlu melangkaui bilik darjah menerusi penglibatan komuniti dan kerjasama yang lebih kukuh bagi memastikan anak-anak di Lahad Datu dan Sabah terus menjadi sebahagian daripada pembangunan pendidikan dan teknologi negara.
“Program Karnival Pendidikan Madani 2026: Sehari Bersama Rakyat anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan pendidikan sebagai keutamaan di daerah ini.
“Karnival itu turut memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), teknologi serta bidang pembelajaran baharu.
“Aktiviti yang mungkin kelihatan mudah kepada kita boleh menjadi detik yang memberi inspirasi kepada seorang kanak-kanak untuk bercita-cita menjadi saintis, jurutera, pencipta atau usahawan teknologi,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Program Karnival Pendidikan Madani 2026: Sehari Bersama Rakyat.
Teks dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Mujibu Abd Muis.
Mohammad Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Silam berkata STEM serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkenalkan dan dipupuk sejak di peringkat sekolah bagi mempersiapkan pelajar menghadapi masa depan.
Menurutnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melihat pendidikan sebagai asas penting dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berkeupayaan dari segi akademik, malah celik teknologi, kreatif dan inovatif.
“Kita tidak mahu anak-anak kita hanya menjadi pengguna teknologi sebaliknya menjadi pencipta masa depan.
“Lahad Datu mempunyai potensi besar dalam pelbagai bidang termasuk agroteknologi, teknologi makanan, biodiversiti, teknologi hijau dan pendigitalan yang boleh membuka ruang serta peluang baharu kepada generasi muda,” ujarnya.
Mohammad Yusof berkata daerah itu juga mempunyai anak-anak berbakat, guru yang berdedikasi, institusi pendidikan, komuniti yang menyokong serta sektor ekonomi yang boleh digembleng bersama bagi membangunkan persekitaran lebih kukuh untuk bakat muda.
Tambahnya tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memanfaatkan peluang sedia ada dengan lebih baik di samping mewujudkan lebih banyak ruang untuk golongan muda mengembangkan kemahiran dan idea mereka.
Beliau turut menggesa ibu bapa supaya terus memberikan sokongan kepada anak-anak, sambil menyifatkan ilmu pengetahuan, pendidikan dan pembentukan sahsiah sebagai antara pelaburan paling berharga yang boleh diberikan oleh sesebuah keluarga.
Dalam pada itu Mohammad Yusof memuji guru dan warga pendidikan di Lahad Datu atas dedikasi, kesabaran serta sumbangan mereka dalam membangunkan generasi masa depan.
“Pengajaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang karnival itu perlu diteruskan dan dibawa ke sekolah, rumah serta masyarakat supaya program berkenaan dapat memberikan kesan yang berkekalan.
“Masa depan Lahad Datu memerlukan usaha bersama daripada guru, ibu bapa, komuniti dan golongan muda yang berani mengejar cita-cita serta aspirasi mereka,” ujarnya.






