Tiga teras perkukuh Mara

LocalTechnology
30 Aug 2026 • 3:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga teras perkukuh Mara

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini mencadangkan tiga teras utama yang perlu menjadi pegangan warga Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam mengemudi organisasi itu bagi menghadapi masa hadapan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah teras pertama ialah warga Mara perlu berani meneroka dan memanfaatkan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah.

“Mara bukan sekadar perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi mesti berada di hadapan dalam mencorakkan masa depan,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Sukan Mara Se-Malaysia (SUKMAS) XI Perlis 2026 di Dewan 2020 di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Ketua Pengarah Mara Datuk Seri Zulfikri Osman.

Raja Muda Perlis bertitah teras kedua ialah agenda keusahawanan perlu terus diperkasa dengan melahirkan usahawan yang inovatif, berdaya tahan dan berani menembusi pasaran antarabangsa dengan sasaran membina lebih banyak syarikat tempatan yang mampu bersaing dan berdiri gah di pentas dunia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah teras ketiga ialah Mara perlu melahirkan warga yang berani memimpin dan pantas membuat keputusan serta berfikiran strategik, iaitu pemimpin masa hadapan yang bukan sekadar mengikut perubahan tetapi tampil sebagai pencetus dan penggerak transformasi.

Sementara itu, baginda bertitah SUKMAS menjadi platform untuk menyatukan warga Mara, memperkukuh ukhuwah, membina disiplin dan menyemai semangat kesukanan.

“Dengan menghimpunkan warga Mara dari pelbagai negeri, latar belakang dan peranan, sukan menjadi bahasa bersama yang mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan sebagai satu keluarga Mara,” titah baginda.

Dalam pada itu, Zulfikri berkata sebanyak 15 acara sukan dipertandingkan pada edisi ke-11 SUKMAS yang bermula hari ini sehingga 3 Sept, termasuk bola sepak, bola jaring, bola tampar, sepak takraw dan tenis.

“Ia melibatkan 3,000 atlet dan pegawai daripada 14 pasukan Mara di seluruh Malaysia. Bagi kami, ini peluang terbaik untuk warga Mara mendekatkan diri dengan masyarakat, khasnya masyarakat di Perlis,” katanya ketika ditemui hari ini. – Kosmo! Online

The post Tiga teras perkukuh Mara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved