Perkembangan KDNK positif pacu ringgit ke arah RM4 sedolar AS

Business & Finance
14 Aug 2026 • 7:53 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perkembangan KDNK positif pacu ringgit ke arah RM4 sedolar AS

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi menguji paras psikologi RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya pertumbuhan ekonomi Malaysia suku kedua yang diumumkan hari ini melepasi jangkaan, didorong prestasi kukuh sektor pembuatan, eksport dan aktiviti domestik.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua dijangka berada sekitar 5.8 hingga 6.0 peratus, sekali gus berpotensi memberikan sentimen positif tambahan kepada ringgit.

Ujarnya, kejutan positif daripada data KDNK, digabungkan dengan kelemahan dolar AS, peningkatan aliran dana asing dan sentimen risiko global yang lebih baik, boleh membuka ruang untuk ringgit menembusi paras RM4.

“Sekiranya pertumbuhan rasmi melebihi 5.8 peratus, ia boleh memberikan sentimen positif tambahan kepada ringgit, khususnya jika angka tersebut melebihi jangkaan pasaran.

“Pertumbuhan lebih kukuh meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia dan boleh menyokong aliran masuk modal asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, ringgit bergerak sekitar RM4.03 hingga RM4.08 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat sekiranya angka KDNK memenuhi atau melebihi jangkaan.

“Namun, pergerakan ringgit masih bergantung kepada hala tuju kadar faedah AS, kekuatan dolar AS, harga komoditi, risiko geopolitik dan sentimen pasaran global,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya angka KDNK rasmi lebih rendah daripada 5.8 peratus, ringgit mungkin mengalami tekanan susut nilai dalam jangka pendek, terutama jika perbezaannya agak besar daripada jangkaan pasaran.

“Bagaimanapun, kesan tersebut dijangka tidak terlalu besar sekiranya pertumbuhan masih berada sekitar 5.5 hingga 5.7 peratus kerana ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar yang sihat,” katanya. 

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ringgit ke paras RM4 memerlukan gabungan prestasi ekonomi domestik yang kukuh serta persekitaran luaran yang menyokong.

Jelasnya, walaupun ringgit telah mencatat pengukuhan ketara sebelum ini, kadar sekitar RM4.07 hingga RM4.09 berbanding dolar AS masih belum mencerminkan sepenuhnya kekuatan asas ekonomi Malaysia.

“Antara faktor yang mampu terus menyokong ringgit ialah pertumbuhan ekonomi, pelaburan langsung asing (FDI), sektor semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E), kitaran pelaburan kecerdasan buatan (AI), pembangunan pusat data, pelancongan dan prestasi eksport.

“Selain itu, kedudukan fiskal yang semakin baik serta prospek kadar faedah AS yang lebih rendah turut berpotensi memberikan sokongan kepada ringgit.

“Gabungan faktor domestik dan luaran ini boleh mewujudkan ruang untuk ringgit terus mengukuh, tetapi pengukuhan tersebut tidak semestinya berlaku secara linear,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pertumbuhan KDNK mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan, ringgit berpotensi mendapat tindak balas positif daripada pasaran.

“Bagi senario jangka sangat pendek, kadar pertukaran dolar AS/ringgit boleh berada sekitar RM4.10 hingga RM4.15 sekiranya pertumbuhan KDNK di bawah 5.5 peratus.

“Jika KDNK berada antara 5.5 hingga 5.8 peratus, ringgit berpotensi diniagakan sekitar RM4.06 hingga RM4.10, manakala pertumbuhan antara 5.8 hingga 6.0 peratus boleh membuka ruang kepada paras RM4.02 hingga RM4.07,” katanya.

Namun begitu, Barjoyai berkata, pertumbuhan KDNK melebihi 5.8 peratus sahaja belum memadai untuk memastikan dolar AS/ringgit menembusi RM4 secara lebih meyakinkan.

“Dua enjin utama perlu bergerak serentak, iaitu kekuatan ekonomi domestik dan sokongan daripada persekitaran kewangan global.

“Enjin pertama ialah pertumbuhan domestik yang kukuh, disokong FDI, eksport, sektor teknologi, semikonduktor, pusat data, AI dan pelancongan.

“Enjin kedua ialah perkembangan luaran, khususnya dolar AS yang lebih lemah serta prospek kadar faedah AS yang lebih rendah. Kedua-duanya boleh menggalakkan aliran modal ke pasaran Malaysia dan seterusnya menyokong ringgit,” katanya. – UTUSAN

The post Perkembangan KDNK positif pacu ringgit ke arah RM4 sedolar AS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved