
KDNK suku kedua diunjur positif disokong prestasi eksport
NUR NAZLINA NADZARI
nazlina.nadzari@mediamulia.com.my
PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2026 dijangka positif disokong prestasi eksport dan sektor pembuatan yang kukuh.
Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, pihaknya tidak menjangkakan semakan besar daripada anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kerana ia mengambil kira sebahagian besar indikator ekonomi bagi suku tersebut.
Katanya, julat antara 5.7 peratus hingga 6.0 peratus pertumbuhan bagi suku tersebut masih munasabah berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.
“Berdasarkan pengalaman suku-suku sebelumnya, perbezaan antara anggaran awal dengan angka akhir juga lazimnya kecil. Sebagai contoh, pertumbuhan suku pertama 2026 hanya disemak daripada 5.3 peratus kepada 5.4 peratus.
“Eksport pada Mei 2026 mencapai RM184.0 bilion, meningkat 45.3 peratus tahun ke tahun, dengan produk elektrik dan elektronik (E&E) sebagai penyumbang utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Siong Hook berkata, pertumbuhan ekonomi suku kedua disokong oleh tiga pemacu utama iaitu penggunaan domestik, pelaburan dan eksport, dengan eksport memberikan dorongan tambahan yang paling ketara, manakala penggunaan dan pelaburan menyediakan asas domestik yang lebih stabil.
Menurutnya, eksport barangan meningkat 24.3 peratus tahun ke tahun, manakala eksport elektrik dan elektronik (E&E) melonjak 39.7 peratus sepanjang Januari hingga Mei 2026.
Katanya, ini disokong oleh permintaan terhadap semikonduktor dan produk E&E berkaitan kecerdasan buatan (AI), selain elektronik automotif, produk petroleum dan gas asli cecair.
“Sementara itu, penggunaan domestik kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, bantuan tunai kerajaan dan inflasi yang relatif rendah.
“Aktiviti perdagangan borong dan runcit, pengangkutan, penginapan dan makanan turut berkembang, sementara peningkatan aktiviti pelancongan dan perjalanan membantu menyokong perbelanjaan.
“Namun, penggunaan lebih berperanan sebagai penstabil pertumbuhan berbanding faktor utama yang menyebabkan KDNK meningkat.Tekanan kos sara hidup masih mengehadkan kekuatan perbelanjaan bagi sebahagian isi rumah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan kekal kukuh, terutama dalam pusat data, infrastruktur digital, pengembangan kapasiti E&E, pembelian mesin dan projek infrastruktur.
Jelasnya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan RM92.8 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama 2026, termasuk RM34.6 bilion dalam projek pusat data dan pengkomputeran awan.
“Walaupun pelaburan yang diluluskan tidak diterjemahkan serta-merta kepada KDNK, ia menunjukkan saluran pelaburan yang kukuh yang berpotensi menyokong kapasiti produktif ekonomi dalam beberapa suku akan datang,” jelasnya.
Mengulas mengenai KDNK keseluruhan 2026, beliau berkata, unjuran pertumbuhan 2026 wajar disemak naik tetapi secara sederhana sekitar 4.8 peratus hingga 5.0 peratus.
“Unjuran ini mengambil kira prestasi separuh pertama yang kukuh tanpa mengandaikan momentum yang sama akan berterusan sepenuhnya pada separuh kedua.
“Terdapat beberapa faktor yang boleh terus menyokong ekonomi. Permintaan domestik masih mendapat sokongan daripada guna tenaga, pelancongan, pinjaman bank dan pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan.
“Pada masa yang sama, kitaran AI dan semikonduktor berpotensi kekal kukuh, manakala projek pusat data dan infrastruktur boleh terus menyokong pembinaan dan perbelanjaan modal,” tambahnya. – UTUSAN
The post KDNK suku kedua diunjur positif disokong prestasi eksport appeared first on Utusan Malaysia.





