Perkeso: 11,000 suri rumah di Kelantan carum SKSSR tahun lepas

10 Jan 2024 • 4:29 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

TANAH MERAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan merekodkan sebanyak 11,000 suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) tahun lepas.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata walaupun jumlah itu jauh daripada sasaran 16,000 suri rumah akan mencarum di bawah skim itu, pihaknya terus berusaha untuk mencapai hasrat berkenaan kerana pencarum di bawah skim ini akan menerima banyak faedah antaranya perlindungan bencana domestik dan keilatan.

“Hanya 1,300 suri rumah tampil mencarum secara sukarela tahun lepas, selebihnya mencarum menerusi pembiayaan oleh kerajaan. Kami menyarankan suri rumah di Kelantan supaya mengambil peluang ini kerana ia mempunyai banyak manfaat dan kadar bayaran caruman serendah RM120 setahun,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih dan Penyampaian Faedah SKSSR kepada pencarum Rosydiah Rashidi dekat Kampung Manal Setia di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan Dick Khuzariry Mohamad.

Mengulas lanjut, Nora berkata tahun ini pihaknya turut menyasarkan 16,000 suri rumah mencarum di bawah skim itu kerana tugas sebagai suri rumah juga harus diberi perhatian serius dalam mendapatkan perlindungan sewajarnya.

Sementara itu, Dick Khuzariry berkata pihaknya akan membantu Rosydiah, 49, yang kini terlantar akibat strok dan menghidap kencing manis berikutan suaminya, Huzaimi Zakaria, 52, hanya memperoleh pendapatan menerusi upah memotong rumput.

“Kita akan bantu bagi meningkatkan pendapatan mereka, malah anak mereka berusia 18 tahun yang terpaksa berhenti pengajian kerana kesempitan hidup turut diberi perhatian pihak kami,“ katanya. -Bernama