
PINTU penjara yang tertutup bukan noktah dalam kehidupan seorang banduan, sebaliknya ia boleh menjadi permulaan untuk mereka meninggalkan kesilapan lalu serta berazam tidak kembali kepada kancah jenayah lampau.
Atas kesedaran itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi program MYFuture Jobs memberi peluang kepada prospek penjara agar mereka dibantu untuk mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan sekali gus memulakan kehidupan baharu.
Prospek Penjara Kajang mahu dikenali sebagai Kumar, 37, berasal dari Pelabuhan Klang berkata, dia berjaya mendapatkan peluang kerja menerusi program MYFuture Jobs hari ini dan ia peluang kepadanya dalam meneruskan kehidupan selepas keluar penjara 23 September ini.

“Saya pernah bekerja dalam bidang F&B (makanan dan minuman) di Singapura sebagai kapten bar. Tetapi berhenti kerana kemalangan dan kembali ke Malaysia. Jadi saya cuba nasib mohon kerja bidang F&B hari ini kerana minat.
“Kesemua peluang kerja itu adalah luar dari Klang kerana saya berazam tidak mahu kembali ke kesilapan dahulu. Antaranya saya minta peluang kerja di Banting dan Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak berusia 12, 14 dan 16 tahun itu ditemui pada program MYFuture Jobs anjuran PERKESO dengan kerjasama Jabatan Penjara melibatkan beberapa majikan serta temu duga kerja untuk banduan Penjara Kajang.

Kumar berkata, dia berharap program MYFuture Jobs kekal diteruskan pada masa akan datang untuk membantu lebih ramai bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta memulakan hidup baharu agar mereka tidak kembali kepada jenayah lalu.
“Sebenarnya agak sukar bagi seorang bekas prospek mahu mencari pekerjaan kerana selepas keluar penjara, mereka tiada wang dan tidak ada pengangkutan.
“Untuk program MYFuture Jobs ini, majikan sendiri datang melakukan temu duga calon-calon untuk diambil bekerja, serta akan dibantu dari segi makanan dan penginapan kelak,” katanya.

Pada program tersebut, Kumar mencuba nasib dengan menghadiri temu duga terbuka bersama enam majikan dan hari ini dia berjaya mendapat peluang kerja sebagai operator, pekerja am di sebuah kolej swasta serta operator bahagian logistik.
Pada masa yang sama, Pengarah Urusan sebuah syarikat pembersihan, Benny Chai berkata, ini kali kedua pihaknya menyertai MYFuture Jobs bersama PERKESO bagi mencari calon dalam kalangan prospek penjara dengan kali pertama di Penjara Marang.
“Kita buka beberapa peluang kerja dan sepanjang temu duga hari ini, ada dalam kalangan banduan ini memang berkemahiran. Jadi kita temu duga mereka dan mencari calon benar-benar sesuai.
“Hasrat kami adalah memberi peluang kepada prospek mendapatkan pekerjaan dan memulakan hidup baharu selepas keluar penjara. Ini juga salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami untuk masyarakat,” katanya.

Benny berkata, beliau memuji penganjuran MYFuture Jobs anjuran PERKESO lebih-lebih lagi ia usaha membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Kita kurangkan bergantung kepada pekerja asing, jadi gunakan tenaga kerja yang ada di dalam negara seperti prospek di dalam penjara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PERKESO buka peluang kerja untuk banduan, bina hidup baharu appeared first on Kosmo Online.




