
KUALA LUMPUR - Langkah memperhebat usaha menangani peningkatan kemalangan maut melibatkan pekerja yang berulang-alik ke tempat kerja telah diambil, susulan data baharu menunjukkan lonjakan ketara kemalangan motosikal di seluruh negara.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh kempen kesedaran keselamatan jalan raya yang menyasarkan penunggang motosikal, khususnya pekerja yang menggunakan kenderaan jenis itu untuk perjalanan harian ke tempat kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya bagi tujuan itu telah memperkenalkan Kempen MYRider, bertujuan memupuk budaya menunggang secara berhemah, bertanggungjawab dan selamat.
Menurut beliau, lebih 91,000 kemalangan dilaporkan kepada PERKESO sepanjang tahun lalu, dengan 51 peratus daripadanya melibatkan kemalangan ketika perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.
“Kebanyakan kes membabitkan penunggang motosikal dan angka ini menunjukkan peningkatan hampir 21 peratus berbanding tahun 2023.
“Situasi ini amat membimbangkan. Justeru, usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya perlu dipergiatkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis pelancaran Kempen MYRider di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Jelas Mohammed Azman, kempen MYRider juga bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang trafik serta memupuk amalan penunggangan yang lebih selamat dalam kalangan pengguna motosikal di negara ini.
Program berkenaan katanya, dibangunkan berasaskan empat teras utama iaitu meningkatkan kesedaran, menggalakkan tindakan bertanggungjawab, membudayakan penunggangan selamat serta memperkukuh perlindungan bersama dalam kalangan pengguna jalan raya.
“PERKESO juga mahu memperluaskan pendidikan awam dan menyalurkan maklumat tepat kepada pencarum skim keselamatan sosial mengenai kepentingan amalan pemanduan dan penunggangan berhemah dalam mengurangkan risiko kemalangan perjalanan kerja.
“Kempen ini turut mendapat kerjasama penuh daripada pihak polis dalam memperkukuh advokasi keselamatan jalan raya, serta meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan trafik dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.
Sekadar info, 4,267 penunggang motosikal dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya tahun lalu, mewakili kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan 6,581 kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.
Mohammed Azman berkata, sebanyak 46,542 kes atau 50.9 peratus melibatkan kemalangan jalan raya, daripada lebih 91,000 kes kemalangan yang dilaporkan kepada PERKESO.
“Lebih membimbangkan, jumlah kemalangan perjalanan kerja meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 38,454 kes yang direkodkan pada tahun 2023. Berdasarkan purata semasa, kira-kira 11 kemalangan perjalanan kerja berlaku setiap jam,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2026






