
KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan faedah berjumlah lebih RM1.2 juta kepada Orang Berinsurans (OB) di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam dalam tempoh sebulan ia dikuatkuasakan.
PERKESO dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam tempoh itu juga, 592 permohonan kes diterima.
Menurut kenyataan itu, dalam tempoh sebulan, jumlah tertinggi pembayaran faedah menerusi skim LINDUNG 24 Jam melibatkan kos implan iaitu RM1.16 juta, diikuti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM99,269.
“Secara purata, hampir 20 kes sehari direkodkan di bawah LINDUNG 24 Jam, sekali gus menjadi manifestasi usaha PERKESO bagi menutup kelompangan perlindungan sosial yang ada di Malaysia. Jika dulu, insiden di luar waktu kerja tidak dilindungi tapi dengan LINDUNG 24 Jam, situasi kini berubah.
“Fokus perlindungan sosial kini tidak lagi tertumpu kepada insiden pergi balik kerja atau musibah di tempat kerja, sebaliknya menjadi lebih menyeluruh walaupun ketika berada di rumah,” menurut kenyataan itu.
PERKESO memaklumkan perlindungan di luar waktu kerja bagi pencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) adalah secara automatik, meskipun potongan caruman belum dilaksanakan dan ia mencerminkan kepentingan dan peranan sebenar LINDUNG 24 Jam sebagai jaringan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh buat rakyat.
Menurut kenyataan itu, PERKESO komited untuk memperluas kesedaran mengenai skim LINDUNG 24 Jam agar lebih ramai cakna manfaatnya, selain memastikan tiada golongan pekerja tercicir daripada menerima perlindungan, termasuk ketika di luar waktu kerja.
Perluasan perlindungan keselamatan sosial diterajui PERKESO antara lainnya merangkumi penyaluran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), iaitu bayaran kepada pencarum ketika dalam tempoh cuti sakit selagi tidak mampu bekerja.
Turut diperuntukkan ialah bayaran rawatan perubatan dan pembedahan; kos implan; bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) berdasarkan taksiran Jemaah Doktor; Faedah Orang Tanggungan (FOT); Elaun Layanan Sentiasa (ELS); serta bayaran pemulihan di pusat rehabilitasi PERKESO.






