Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan

15 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan

HULU SELANGOR, 15 OKT: Seawal jam 7.30 pagi, Nor Izwandi Nordin, 39, menaiki Bas Smart Selangor dari Bukit Sentosa untuk ke tempat kerjanya di Kerling, Kuala Kubu Bharu (KKB).

Bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu, kemudahan tersebut memudahkan urusan harian sekali gus menjimatkan antara RM300 hingga RM400 sebulan bagi kos bahan api.

Beliau menggunakan perkhidmatan percuma itu untuk perjalanan pergi dan pulang kerja setiap hari.

Image from: Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan
Pengguna Bas Smart Selangor, Norizwandi Nordin, 39. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

"Pada saya memang memuaskan. Saya selalu naik pukul 7.30 pagi dan balik pukul 3.30 petang, memang ada bas. Kalau sebulan, minyak lebih kurang RM300 hingga RM400 juga. Jadi bila ada bas ini, kos pun jimat," katanya kepada Media Selangor.

Izwandi yang bertugas di Penjara Satelit Kuala Kubu Bharu berkata perkhidmatan bas yang tiba kira-kira setiap satu jam setengah turut memudahkannya merancang pergerakan harian.

Katanya, laluan yang disediakan bukan sahaja menghubungkan perumahan dengan pekan, malah beberapa kemudahan penting termasuk hospital dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM).

"Tempat perhentian memang strategik, dekat kawasan taman dan pekan. Ke hospital pun bas masuk, KTM pun masuk. Cuma kalau boleh, tambah lagi perhentian bas di beberapa kawasan taman kerana ada tempat yang bas masuk tetapi belum ada perhentian," katanya.

Manfaat Bas Smart Selangor bukan hanya dirasai golongan bekerja, malah memudahkan penduduk bergerak ke pekan, stesen kereta api dan kemudahan awam.

Guru taska, Nurul Shahida Abdullah, 34, berkata perkhidmatan itu banyak membantu khususnya penduduk yang tiada kenderaan sendiri.

Image from: Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan
Pengguna Bas Smart Selangor, Nurul Syahida Abdullah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Walaupun bekerja di Bangi dan hanya menggunakan Bas Smart Selangor ketika di KKB, beliau menyifatkan jaringan laluan sedia ada memudahkan pengguna ke beberapa lokasi utama.

"Memudahkan dan menyenangkan orang yang tidak ada pengangkutan. Hendak pergi KTM pun senang, nak pergi pekan pun senang," katanya.

Bagaimanapun, Nurul Shahida berharap aspek ketepatan masa dan ketersediaan bas dapat ditambah baik memandangkan ada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan itu untuk ke tempat kerja.

"Kadang-kadang ada bas yang rosak. Kalau boleh perbanyakkan atau perbaiki sebab ada orang guna pengangkutan ini untuk pergi kerja. Kalau satu bas rosak, mesti kena ada bas lain untuk 'cover' (ganti)," katanya.

Bagi Hasan Madin, 64, Bas Smart Selangor pula memberikannya pilihan untuk bergerak pada waktu lapang tanpa perlu menggunakan kenderaan sendiri.

Image from: Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan
Pengguna Bas Smart Selangor, Hasan Madil, 64. Foto AHMAD ZAKKI JILAN

Meskipun memiliki kereta, Hasan sesekali memilih menaiki bas dari Bukit Sentosa menuju ke Rawang untuk bersiar-siar.

Ada kalanya, beliau memulakan perjalanan sekitar jam 7 atau 8 pagi sebelum pulang sekitar 12 tengah hari atau 1 petang.

"Saya biasanya bawa kereta sendiri, tapi kalau ada masa lapang saya naik bas, jalan-jalan," katanya.

Menurut Hasan, perjalanan menggunakan perkhidmatan itu mudah dan selesa, namun aspek ketepatan masa masih boleh ditambah baik.

"Mudah, cuma bergantung pada masa bas. Kadang-kadang lambat, ada masa cepat," katanya.

Image from: Perkhidmatan bas percuma bantu jimat RM400 sebulan
Fakta Bas Smart Selangor. GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved