Perkhidmatan LRT Ampang-Sri Petaling Tergendala Akibat Kebakaran Di Landasan

4 Aug 2024 • 6:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Perkhidmatan LRT Ampang-Sri Petaling Tergendala Akibat Kebakaran Di Landasan

Perkhidmatan Transit Ringan (LRT) laluan Ampang/Sri Petaling tergendala disebabkan oleh gangguan teknikal berpunca daripada kebakaran di salah satu komponen landasan berhampiran Stesen PWTC pada Ahad.

Perkhidmatan LRT Ampang/Sri Petaling tergendala disebabkan oleh gangguan teknikal berpunca daripada kebakaran di salah satu komponen landasan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada jam 9.58 pagi, mengakibatkan kelewatan perkhidmatan LRT.

Menurut kenyataan itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan polis tiba di lokasi kejadian pada jam 10.15 pagi untuk menjalankan kawalan dan pemantauan.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail juga menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi secepat mungkin,” tulis kenyataan itu pada Ahad.

Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif untuk membolehkan pengguna meneruskan perjalanan masing-masing.

Perkhidmatan tren perantara disediakan di antara Stesen Sultan Ismail dan Stesen Sentul Timur serta tren dari Stesen Ampang dan Putra Heights yang berpatah balik di Stesen Sultan Ismail.

Rapid Rail juga memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh para penumpang.

Dalam kemas kini terkini pada jam 3 petang tadi, Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih di landasan terlibat telah selesai.

“Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara juga ditamatkan.

“Jadual perjalanan telah diselaraskan dan perkhidmatan tren beroperasi normal,” tulis kenyataan itu lagi.

Sumber: Astro Awani