
SHAH ALAM - Perkhidmatan perbankan dalam talian Bank Simpanan Nasional (BSN), myBSN mengalami gangguan pada Isnin dengan pelanggan tidak boleh melakukan transaksi menerusi platform tersebut.
Setakat jam 11.30 malam, tinjauan Sinar Harian mendapati laman web perbankan berkenaan masih tidak boleh diakses.
Dalam satu notis dikongsikan di Facebook rasmi BSN kira-kira jam 3 petang tadi, bank tersebut memaklumkan berlaku gangguan sementara terhadap perkhidmatan perbankan dalam talian tersebut dan menyatakan usaha baik pulih sedang dijalankan.
“Anda mungkin mengalami kesukaran transaksi perbankan internet myBSN. Usaha baik pulih sedang giat dilakukan. Mohon maaf atas segala kesulitan.
“Untuk keterangan lanjut sila hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900,” menurut notis berkenaan pada Selasa.
Pada masa sama, hantaran tersebut memaklumkan perkhidmatan ATM, CDM dan myDebit bank tersebut masih beroperasi seperti biasa.
Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut mendapati ada pengguna mendakwa gangguan tersebut bermula jam 7 pagi tadi.
“Tak dapat log masuk. Banyak urusan tergendala,” kata pengguna akaun dengan nama Raja Kapur.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Zahra Qalesya turut mempersoalkan tempoh masa yang diperlukan untuk menangani isu gangguan tersebut.
“Berapa lama lagi nak tunggu, nak buat transaksi dalam talian pun susah. Dari siang tadi lagi,” ujarnya.
