
KUALA LUMPUR – Dalam dunia yang serba sibuk dan penuh cabaran, masih wujud kisah-kisah kecil yang cukup besar maknanya, kisah tentang ihsan, tentang manusia yang memilih untuk membantu walaupun tidak diminta. Di saat ada yang berpaling, masih ada yang datang menghulur tangan tanpa syarat.
Menerusi satu perkongsian tular di TikTok oleh pengguna @aieraa01, kisah menyentuh hati ini sekali lagi mengingatkan ramai bahawa setiap ujian pasti ada hikmahnya.
“Walaupun ujian datang bertalu-talu, percaya yang TUHAN itu ada ,” tulisnya ringkas.
Terdahulu, tular kisah seorang mekanik dikenali sebagai “Minyak Hitam Jalanan” yang tampil membantu seorang pemuda Cina bernama Dicky selepas motosikalnya rosak di tengah malam.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, Dicky berdepan detik sukar apabila motosikalnya mengalami kerosakan serius pada bahagian spoket dan rantai. Lebih memilukan, beberapa mekanik yang dihubungi bukan sahaja enggan membantu, malah ada yang terus menyekat nombor telefonnya.
“Tolong saya bang, rantai motor putus, spoket depan pula hilang… saya call ramai pomen tapi semua tak nak layan,” luahnya.
Datang Walaupun Lewat Malam
Harapan muncul apabila dia berjaya menghubungi “Minyak Hitam Jalanan” sekitar jam 12.30 malam. Ketika itu, mekanik tersebut baru sahaja pulang ke rumah selepas hujan lebat di kawasan Taman Kota Damansara.
“Dia kata dia dah buntu… hubungi pomen lain semua tak mahu datang. Lokasi pula tak jauh, jadi saya kuatkan hati untuk bantu walaupun dah lewat malam,” katanya.
Tak Ambil Bayaran, Guna Duit Infak
Selepas pembaikan selesai, Dicky dilihat terpaksa meminjam wang daripada rakannya. Namun, mekanik berkenaan tidak sampai hati untuk mengambil bayaran tersebut.
“Abang ada RM176 je… nanti ada duit makan? Tak payah bayar la bang.”
“Saya guna duit infak untuk tanggung kos. Masa dia peluk saya… saya pun tak dapat tahan dan terus menangis,” katanya.
Momen tersebut turut menyentuh hati ramai netizen, dengan ada yang menyifatkan kebaikan kecil seperti ini mampu mengubah nasib seseorang dalam sekelip mata.
@aieraa01 Turut Tampil Hulur Sumbangan
Dalam perkembangan terbaru, kisah ini tidak terhenti di situ apabila @aieraa01 sendiri hadir ke tempat kerja Dicky.
Menerusi video yang dikongsikan, dia dilihat datang bertemu Dicky di restoran tempat pemuda itu bekerja sebelum menyerahkan sumbangan yang dikumpulkan daripada orang ramai.
Difahamkan, sumbangan tersebut merupakan hasil keprihatinan netizen yang tersentuh dengan kisahnya sebelum ini.
Tindakan tersebut sekali lagi mengundang sebak. Malah, ada yang berpendapat sokongan orang ramai ini berpotensi membantu meningkatkan rezeki Dicky, termasuk menarik lebih ramai pelanggan ke tempat kerjanya.
Selain itu, kisah Dicky yang merupakan seorang ayah tunggal dan terpaksa berjauhan dari anak kecilnya di Sabah turut mengundang rasa simpati dalam kalangan netizen.
Majikan Puji, Netizen Doakan
Sementara itu, majikan Dicky turut tampil menghargai komitmen pekerjanya itu, menyifatkan dia sebagai seorang yang rajin dan aset penting syarikat.
“Ramai yang kata mereka nak datang untuk menyokong staf kami, kami benar-benar terharu. Dicky seorang yang sangat rajin dan sentiasa bekerja keras setiap hari,” katanya.
Gelombang sokongan yang diterima ini jelas menunjukkan bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan sanggup membantu tanpa mengira latar belakang.
Kisah ini menjadi bukti bahawa nilai kemanusiaan dan keprihatinan masih kuat dalam masyarakat, apabila ramai tampil membantu tanpa mengharapkan balasan. – The Malaysian Update
The post Perkongsian Tular Undang Sebak, Kisah Dicky Terima Sumbangan Raih Perhatian appeared first on The Malaysian Update.



