
KUALA LUMPUR: Malaysia dan ASEAN perlu memperkukuh golongan kelas pertengahan dengan kuasa beli yang lebih tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat (AS) sebagai pasaran pengguna utama yang menyerap eksport negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kebimbangan negara ASEAN, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain terhadap tarif import AS berpunca daripada kebergantungan ekonomi global yang terlalu besar kepada pasaran negara itu sebagai destinasi akhir eksport.
Menurutnya, kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada AS sebagai pasaran pengguna terakhir.
“Sudah tiba masanya untuk kita membina golongan kelas pertengahan yang lebih kukuh di rantau ini.
“Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, AS menjadi pasaran pengguna utama bagi banyak negara termasuk Jerman dan Jepun yang mengamalkan ekonomi berorientasikan eksport.
“Bagaimanapun, perkembangan teknologi dan keupayaan pengeluaran global yang semakin meningkat memerlukan negara membangunkan pasaran pengguna baharu bagi mengimbangi pertumbuhan pengeluaran dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Kebangsaan 2026 anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata, Malaysia perlu memperbanyakkan syarikat bersaiz sederhana yang berkeupayaan menguasai teknologi dan mengembangkan operasi ke pasaran lebih besar bagi membina kelas menengah yang kukuh serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, Malaysia berdepan cabaran apabila terlalu banyak perusahaan kecil tidak mempunyai keupayaan untuk berkembang ke skala lebih besar, sekali gus mengehadkan pembentukan syarikat tempatan yang mampu bersaing pada peringkat global.
“Tumpuan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya perlu diperluas kepada usaha melahirkan lebih banyak syarikat bersaiz sederhana yang memiliki teknologi serta kapasiti untuk memperluaskan operasi.
“Pembentukan lebih banyak syarikat bersaiz sederhana ini juga perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh golongan kelas menengah kerana kedua-duanya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.
“Keadaan ini memacu pertumbuhan ekonomi apabila lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi syarikat sederhana, sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat,” katanya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia perlu mengubah pendekatan daripada sekadar sebuah negara perdagangan kepada negara berteraskan teknologi dengan memperkukuh pemilikan dan pembangunan teknologi tempatan.
Mengulas daya tahan ekonomi negara, Chin Tong berkata, Malaysia mempunyai ekonomi yang agak pelbagai dan berdaya tahan, disokong enam hingga tujuh pemacu utama yang menyumbang kepada pertumbuhan negara.
“Antara pemacu berkenaan ialah industri semikonduktor, pusat data, minyak sawit dan industri berkaitan, minyak dan gas, pelancongan, logistik serta pelabuhan, selain pusat pengedaran dan ibu pejabat serantau.
“Kepelbagaian sektor itu membolehkan ekonomi Malaysia terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan dan cabaran ekonomi global,” katanya. – UTUSAN
The post Perkukuh kelas pertengahan, kurangkan kebergantungan AS appeared first on Utusan Malaysia.






