KOTA BHARU – Program Arafah #QuranHour 2026 yang dijadual berlangsung pada 26 Mei ini dijangka mampu memperkukuh kesejahteraan emosi dan spiritual dalam kalangan petugas kesihatan.
Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Saharuddin Mohd Kia berkata, program pengisian rohani seperti itu perlu terus diperkasakan kerana al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sebaliknya perlu dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Hajj yang menjadi fokus program kali ini banyak menekankan aspek penghayatan kehidupan seorang Muslim termasuk kekuatan dalaman, pengorbanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT.
“Kita bukan sekadar membaca al-Quran, tetapi perlu memahami, mentadabbur dan menghayati ibrah pada setiap ayat yang disampaikan.
“Dalam kehidupan hari ini, masyarakat berdepan pelbagai cabaran dan tekanan, sebab itu perlu kekuatan dalaman supaya kehidupan kita sentiasa berada di landasan yang betul berpandukan al-Quran serta sunnah,” katanya.
**media[3524514]**
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program jelajah kempen Arafah #QuranHour 2026 oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di HRPZ II di sini pada Ahad.
Program bertemakan Ummah Berbudi dan Penyayang, Satu Kebangkitan berlangsung serentak di seluruh negara dengan lokasi utama di Kelantan akan diadakan di Masjid An-Nur Kota Kubang Labu di sini.
Menurut beliau, pihak pengurusan HRPZ II sentiasa menggalakkan program berbentuk pengisian spiritual bagi membantu membina kekuatan emosi dalam kalangan warga kerja hospital.
Katanya, petugas kesihatan bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal ketika menjalankan tugas, malah perlu mempunyai ketahanan spiritual terutama ketika berhadapan dengan pesakit yang datang daripada pelbagai latar belakang dan situasi.
“Sebelum kita merawat pesakit, kita sendiri perlu mempunyai kekuatan emosi dan spiritual.
“Pesakit yang datang ke hospital bukan hanya menanggung kesakitan fizikal, tetapi ada juga tekanan emosi dan masalah kehidupan yang mereka hadapi. Jadi kita perlu sama-sama membantu dan mengawal emosi mereka,” katanya.
**media[3524515]**
Mengulas lanjut, beliau berkata, perhimpunan umat Islam di Arafah ketika musim haji turut membawa mesej besar mengenai kesamarataan manusia di sisi ALLAH SWT.
“Arafah memberi manifestasi bahawa manusia ini sebenarnya sama sahaja, yang membezakan hanyalah ketakwaan kepada ALLAH SWT.
“Sebab itu dalam kehidupan kita perlu sentiasa berbaik sangka, hidup berlandaskan ajaran Islam dan sanggup berkorban untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan ketaatan Nabi Ismail AS sebagai simbol penting pengorbanan dan keikhlasan yang perlu diterapkan dalam kehidupan umat Islam hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak hospital menyokong penuh pelaksanaan program Arafah #QuranHour sebagai usaha memperkukuh penghayatan al-Quran serta membina masyarakat yang lebih seimbang dari sudut rohani dan emosi.

