PERKEMBANGAN terbaharu berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) wajar menjadi peringatan penting kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam merangka hala tuju perdagangan negara.
Kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa perjanjian tersebut kini tidak lagi terpakai susulan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian langkah tarif diperkenalkan Presidennya, Donald Trump memperlihatkan betapa dasar perdagangan global boleh berubah secara mendadak.
Hakikatnya, negara kecil dan sederhana seperti Malaysia sering berada di persimpangan sukar apabila berurusan dengan kuasa ekonomi dunia. Perjanjian perdagangan yang pada awalnya kelihatan menguntungkan boleh bertukar beban apabila dasar politik domestik negara besar berubah.
Situasi semasa menyaksikan Malaysia hanya dikenakan tarif global 10 peratus berbanding 19 peratus seperti dijangka sebelum ini mungkin memberi sedikit kelegaan sementara.
Namun, tempoh semakan lima bulan oleh AS bagi menentukan kadar tarif baharu menunjukkan ketidaktentuan masih belum berakhir.
Dalam konteks ekonomi global semakin tidak stabil, kerajaan perlu memastikan setiap perjanjian perdagangan dirunding dengan pendekatan lebih strategik dan berimbang. Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada satu blok ekonomi semata-mata, apatah lagi dalam suasana geopolitik semakin tegang.
Lebih membimbangkan, tekanan ekonomi global dijangka bertambah sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan sehingga menyebabkan harga minyak dunia melonjak kepada AS$200 setong.
Kesan rantaian kepada kos pengeluaran, inflasi dan kestabilan ekonomi negara pasti tidak dapat dielakkan.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia memperkukuh strategi perdagangan pelbagai hala dengan memanfaatkan hubungan bersama pelbagai rakan dagang utama di Asia, Eropah dan rantau membangun.
Hanya dengan strategi seimbang dan berhati-hati, Malaysia mampu kekal berdaya tahan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar selain mengelak 'perangkap ekonomi' ciptaan kuasa besar dunia.


