SHAH ALAM - Syarikat pengurusan umrah dan haji terkemuka, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) bersedia meneruskan sokongan penganjuran program Arafah #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Usaha dan kerjasama itu bagi membantu jemaah haji menghayati ibadah mereka dengan lebih mendalam menerusi tadabbur al-Quran.
Mutawif Andalusia, Mohd Arif Syafarin Noordin berkata, program tahunan itu amat membantu jemaah memahami ayat-ayat al-Quran berkaitan pensyariatan serta sejarah ibadah haji yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS.
Katanya, pengisian berteraskan al-Quran itu membolehkan tetamu ALLAH SWT memahami falsafah sebenar di sebalik setiap rukun haji, khususnya ketika berada di Padang Arafah, sekali gus menimbulkan rasa syukur kerana dipilih menjadi tetamu-Nya.
Mengulas tema utama Arafah Quran Hour 2026, The Chosen One (Yang Terpilih), beliau berkata, tema berkenaan cukup signifikan dalam menyedarkan jemaah bahawa peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci adalah jemputan mutlak daripada ALLAH SWT sebagai Dhuyufur Rahman, bukan semata-mata hasil usaha, kedudukan atau kemampuan material.
“Ada jemaah yang mempunyai harta, namun belum direzekikan ALLAH SWT untuk datang. Sebaliknya, ada juga yang pada pandangan manusia tidak berkemampuan, tetapi dipilih menjadi tetamu-Nya.
“Jadi, pemilihan itu adalah pilihan ALLAH SWT, bukan atas kehendak atau kemampuan kita sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam di negara ini yang belum berpeluang menunaikan haji supaya bersama-sama menyertai program Arafah Quran Hour bagi mengambil manfaat daripada penghayatan ayat-ayat al-Quran berkaitan ibadah haji.
Menurutnya, usaha membaca serta mentadabbur al-Quran walaupun berada di tanah air mampu memberi kekuatan jiwa dan menyuntik semangat kepada umat Islam untuk terus memperbaiki diri serta mendekatkan hubungan dengan ALLAH SWT.
Ditanya mengenai perancangan bagi pelaksanaan program itu, Mohd Arif Syafarin berkata, pihaknya sedang meneliti kesesuaian masa memandangkan tempoh wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah agak terhad.
Bagaimanapun, katanya, program itu berkemungkinan dilaksanakan sama ada secara ringkas di Arafah atau diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini di hotel penginapan jemaah sekitar Makkah.
“Sebelum ini memang sudah ada pelaksanaan Quran Hour, cuma bukan khusus ketika berada di Padang Arafah. Kita adakan di hotel-hotel penginapan jemaah,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berterusan Andalusia bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selaku pencetus gerakan World #QuranHour wajar diteruskan kerana memberi impak besar kepada pembangunan rohani ummah.
Katanya, kolaborasi itu menjadi titik permulaan terbaik untuk mendekatkan masyarakat dengan al-Quran, termasuk golongan yang kurang mahir membaca atau memahami maknanya, sekali gus membantu membina kekuatan spiritual yang lebih kukuh.

