Pengisian tadabur Arafah #QuranHour perkukuh jiwa 200 jemaah di Tanah Suci

LocalTravel
23 May 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengisian tadabur Arafah #QuranHour perkukuh jiwa 200 jemaah di Tanah Suci
Tadabur bertajuk 'Haji bukan sekadar perjalanan, tetapi satu perubahan' antara pengisian kepada jemaah Maktab KT90B Delima Lembaga Tabung Haji Travel. Gambar kecil: Norlis
Image from: Pengisian tadabur Arafah #QuranHour perkukuh jiwa 200 jemaah di Tanah Suci
Sebahagian jemaah Maktab KT90B Delima Lembaga Tabung Haji Travel diberi pengisian rohani menerusi sesi tadabur bersempena Arafah #QuranHour pada Sabtu.
Image from: Pengisian tadabur Arafah #QuranHour perkukuh jiwa 200 jemaah di Tanah Suci
Antara jemaah Maktab KT90B Delima Lembaga Tabung Haji Travel mengikuti sesi tadabur.

MAKKAH – [DIKEMAS KINI] Seramai 200 jemaah Maktab KT90B Delima Lembaga Tabung Haji Travel (THTS) diberi pengisian rohani menerusi sesi tadabur bersempena Arafah #QuranHour pada Sabtu.

Program itu diserikan dengan sesi tadabur bertajuk 'Haji Bukan Sekadar Perjalanan, Tetapi Satu Perubahan' yang disampaikan Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkap Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) THTS, Hamdan Muhamad dan Pegawai Pendidikan PIHTAS, Dr Nor Azizah Mustapha.

Sesi tadabur tersebut menyentuh penghayatan ibadah haji berdasarkan Surah al-Hajj dan perjalanan spiritual Nabi Ibrahim AS, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mendekati al-Quran sepanjang musim haji.

Jemaah, Norlis Salusi berkata, program itu memberi pengalaman bermakna kepada jemaah apabila pengisiannya bukan sahaja menyentuh mengenai ibadah haji, malah memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran dan tujuan sebenar perjalanan sebagai tetamu ALLAH SWT.

Beliau yang merupakan mantan Editor Majalah Keluarga di Karangkraf berkata, sesi tadabur disampaikan Ustaz Hamdan memberi penekanan terhadap Surah al-Hajj yang berkait rapat dengan seruan Nabi Ibrahim AS kepada umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.

**media[3530528]**

“Haji bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi satu penghormatan dan jemputan daripada ALLAH SWT. Dalam perjalanan ini, kita belajar mengenai pengorbanan, kesabaran dan tanggungjawab sebagai hamba-Nya.

“Saya lihat program Arafah #QuranHour sangat bagus kerana ia bukan sahaja dipromosikan di Malaysia, malah kini diperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di hotel penginapan jemaah di sini.

Norlis menambah, sambutan yang diterima dalam kalangan jemaah juga sangat menggalakkan walaupun ada yang pertama kali menyertai program seumpamanya.

“Ramai yang teruja dan memberi perhatian sepanjang pengisian berlangsung. Saya rasa ini kali pertama sebahagian jemaah melihat promosi Arafah #QuranHour secara dekat ketika berada di Tanah Suci,” ujarnya.

Beliau berkata, Tanah Suci yang menghimpunkan jutaan umat Islam dari pelbagai negara dan bangsa menjadi lokasi sesuai untuk memperkenalkan Arafah #QuranHour sekali gus menyebarkan kesedaran mengenai al-Quran kepada masyarakat dunia.

“Di sini bukan satu bangsa sahaja, tetapi jutaan umat Islam dari pelbagai negara berkumpul. Jadi, platform seperti ini memang sesuai untuk menyebarkan kesedaran mengenai al-Quran dan ibadah haji,” katanya.

**media[3530536]**

Justeru, Norlis berpandangan, pendekatan membawa program tadabur kepada jemaah haji merupakan satu usaha baik dalam memperkukuh kefahaman agama, selain membantu umat Islam lebih menghayati tujuan sebenar ibadah haji.

Arafah #QuranHour 2026 boleh disaksikan secara langsung melalui Facebook dan YouTube QuranHour, My #QuranTime serta Sinar Harian pada jam 5 hingga 6 petang, 26 Mei 2026 bersamaan 9 Zulhijah 1447H.

Pelaksanaan secara fizikal di Arafah dan Makkah pula akan dijalankan melalui beberapa agensi iaitu Tabung Haji HQ, Tabung Haji Travel & Tours, Amani Travel, Juara Travel, Andalusia Travel dan Zahafiz Travel & Tours.