PADANG BESAR - Pembangunan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai pintu masuk perdagangan ASEAN dan logistik serantau.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, PIP bukan sekadar simbol pembangunan fizikal, malah merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan kedudukan Perlis dan Malaysia sebagai pintu masuk perdagangan serta logistik serantau berpaksikan pengangkutan darat intra-Asia, khususnya jajaran rel Pan Asia.
"Saya yakin Zon Perdagangan Bebas ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu, membuka peluang pelaburan, memperkukuhkan perdagangan rentas sempadan serta merancakkan sektor logistik dan perindustrian di utara Semenanjung Malaysia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.
"Dengan kedudukan strategik Negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand dan berada di laluan penting perdagangan ASEAN, saya menyarankan agar Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian serta melaksanakan pelaburan strategik bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Depot Pelepasan Pedalaman Perlis di sini pada Sabtu.
Titah baginda, pembangunan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor perdagangan dan industri berskala besar, malah turut membawa limpahan ekonomi kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana serta membuka minda generasi muda terhadap potensi besar pasaran global.
"Saya telah memperkenankan nama saya digunakan sebagai simbolik Zon Perdagangan Bebas ini dan saya berharap agar ia terus berkembang sebagai pusat logistik dan perdagangan moden yang mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan negara jiran dan rakan dagang antarabangsa.
"Saya juga menyeru agar semua pihak mengamalkan sikap amanah, rajin dan profesional dalam pengurusan supaya Negeri Perlis diyakini sebagai 'trading hub' pilihan pelabur dan usahawan antarabangsa," titah baginda.
Raja Perlis bertitah, jika negara-negara maju dikenali sebagai pusat perdagangan antarabangsa, maka baginda yakin negeri Perlis juga berpotensi muncul sebagai pintu gerbang perdagangan utama ASEAN berdasarkan kedudukannya di titik pertemuan Koridor Rel Daratan Intra-Asia dan Koridor Maritim Selat Melaka.
"Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pelabur-pelabur serta agensi pembangunan dan pemain industri, saya yakin visi ini mampu direalisasikan.
"Di kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Mutiara Perlis Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Ekonomi khususnya Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Kementerian Pengangkutan Malaysia serta semua pihak yang terlibat dalam pembangunan PIP. Komitmen dan kerjasama erat semua pihak telah menjadikan pembangunan strategik ini satu kenyataan," titah baginda.




