Perlu ada kejujuran, disiplin tinggi dalam BDR

LocalOpinion
6 Apr 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penjawat awam perlu menjadikan amanah sebagai teras kerja, sama ada di pejabat mahupun di rumah. Foto hiasan

PELAKSANAAN dasar bekerja dari rumah (BDR) menandakan perubahan penting dalam landskap perkhidmatan awam yang semakin menuntut kecekapan berasaskan hasil. Ia bukan lagi soal berada di pejabat, tetapi kemampuan menyempurnakan amanah tanpa kompromi terhadap mutu kerja.

Namun, pelaksanaan BDR menuntut disiplin diri yang tinggi serta integriti konsisten. Tanpa pemantauan fizikal, setiap penjawat awam perlu memastikan KPI dipenuhi mengikut tempoh ditetapkan. Kelonggaran yang wujud tidak wajar dijadikan alasan menurunkan produktiviti.

Integriti bekerja harus menjadi budaya, bukan sekadar slogan. Ia merangkumi kejujuran dalam melaksanakan tugas, ketelusan dalam membuat keputusan serta amanah dalam mengurus sumber dan masa.

Kelemahan dalam aspek ini bukan sahaja menjejaskan organisasi, malah memberi kesan kepada rakyat yang bergantung kepada sistem penyampaian kerajaan.

Dalam masa sama, BDR turut menguji tahap kepercayaan antara ketua jabatan dan kakitangan. Pemantauan berkesan perlu disertai komunikasi jelas, garis panduan teratur serta penetapan KPI yang realistik.

Pendekatan ini memastikan setiap individu memahami peranan masing-masing tanpa perlu bergantung kepada pengawasan berlebihan.

Justeru, kejayaan BDR bergantung kepada sikap dan nilai individu. Jika integriti terus dipelihara dan disiplin diri diperkukuh, dasar ini mampu meningkatkan produktiviti serta kualiti perkhidmatan awam.

Sebaliknya, tanpa komitmen, BDR hanya akan menjadi ruang mengelak tanggungjawab. Integriti bukan pilihan, tetapi keperluan utama dalam memastikan keberkesanan dasar ini.

Penjawat awam perlu menjadikan amanah sebagai teras kerja, sama ada di pejabat mahupun di rumah. Hanya dengan integriti yang kukuh, kepercayaan rakyat dapat dipelihara dan sistem penyampaian negara terus diyakini.

Pada masa sama, pemerkasaan budaya kerja berasaskan nilai dan etika perlu terus diperkasa melalui latihan, bimbingan dan pemantauan berterusan.

Organisasi juga harus memainkan peranan menyediakan sistem sokongan yang jelas agar setiap penjawat awam dapat melaksanakan tugas dengan lebih tersusun, berfokus dan bertanggungjawab. Ini memastikan kelangsungan tadbir urus berkesan.