
KEBELAKANGAN ini, semakin ramai pihak bukan sahaja cakna terhadap proses pembentukan negara bangsa, malah turut bimbang tentang hasilnya.
Hal ini kerana, meskipun negara telah lama terbentuk, gambaran tentang rakyat yang ingin dilahirkan, khususnya melalui sistem pendidikan kebangsaan, masih belum jelas.
Dalam konteks ini, negara bangsa merujuk kepada masyarakat yang berjaya membentuk sebuah komuniti nasional dalam pelbagai aspek kenegaraan. Antara ciri terpenting ialah mendukung untuk mempamerkan jati diri kebangsaan yang serupa pada setiap rakyat.
Inilah antara cabaran besar dalam proses pembentukan negara bangsa di Malaysia. Sistem pendidikan kebangsaan yang sepatutnya menjadi wahana penyatuan didakwa lebih cenderung memisahkan anak bangsa. Kesannya, polarisasi kaum terus berlaku, bukannya penyatupaduan kaum.
Ini kerana sistem pendidikan kita menggalak dan membenarkan pengasingan etnik pada usia sangat muda. Dalam hal ini, anak kecil sudah terpisah di peringkat tadika lagi apabila memasuki tadika etnik masing-masing.
Keadaan ini berterusan di sekolah rendah. Apabila murid daripada pelbagai etnisiti melangkah ke sekolah menengah, hubungan antara mereka masih belum harmoni meskipun mereka sepatutnya membentuk kelompok yang lebih bercampur.Ini kerana mereka tidak pernah secara signifikan didedahkan kepada ramuan perpaduan antara kaum sebelum ke sekolah menengah.
Perkara seserius ini tidak boleh lagi dibiarkan berterusan. Ini kerana menjejaskan usaha perpaduan negara dan integrasi nasional. Antaranya untuk rakyat dari pelbagai etnisiti dan semua wilayah bergerak sederap sebagai satu komuniti nasional dalam semua sisi kehidupan nasional.
Dalam hal ini, semua rakyat di segenap pelosok tanah air, hendaklah bukan sahaja mendukung, malah sama-sama merealisasikan setiap aspirasi nasional.
Sehubungan aspirasi nasional, ia adalah matlamat dan hasrat yang mahu dicapai sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Antaranya termasuklah gagasan bahasa negara.
Untuk ini, setiap rakyat mesti memperlihat sikap positif terhadap bahasa Melayu dalam peranan mulianya itu tanpa sebarang alasan.
Malangnya inilah yang berlaku pada sesetengah rakyat, antaranya etnik Cina yang mahu terus-terusan mempertikai taraf bahasa Melayu sebagai bahasa negara tunggal, selain berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Bagi mereka ini, pertikaiannya berkisar pada persoalan peredaran zaman, yakni masa telah banyak berubah. Kini bahasa Melayu dikatakan tiada nilai ekonomi tinggi berbanding bahasa Mandarin, apatah lagi dengan bahasa Inggeris.
Begitu juga dengan penyebaran bahasa Melayu yang masih terhad, dengan penggunaannya paling meluas di Indonesia. Namun, nilai bahasa Melayu dalam konteks kenegaraan Malaysia tidak terhingga kimahnya dalam ranah kenegaraan di Malaysia. Sebagai bahasa negara, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi identiti nasional, malah mencerminkan identiti budaya rakyat Malaysia.
BAHASA MELAYU TERAS IDENTITI NASIONAL
Mengapa etnik Cina gagal melihat nilai bahasa Melayu dari aspek nasionalisme? Mengapa mereka hanya melihat pada sisi ekonomi sahaja? Sepatutnya proses pembentukan negara bangsa menyedarkan mereka tentang hal nasionalsime ini. Namun ia tidak.
Seperkara lain, ketidakcekapan berbahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina, selalu didalilkan sebagai bukan bahasa ibunda. Dalam memberi jawapan begini, etnik Cina memperlihat sikap yang sangat tidak baik, yakni pemikiran dan kelakuan mereka masih berada di takuk lama.
Mereka masih menganggap pendatang dari segi mentaliti, walaupun secara fizikalnya, mereka yang dilahirkan di sini sudah memiliki beberapa keturunan.
Sekali lagi, sepatutnya proses pembentukan negara bangsa yang bermula sejurus tertubuhnya negara ini berhasil melahirkan rakyat yang memahami aspirasi nasional. Antaranya melibatkan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Sebenarnya terdapat terlalu banyak perkara yang gagal pada proses pembentukan negara bangsa di Malaysia. Oleh itu, kita tidak boleh lagi berterusan mahu menyembunyinya dengan tidak mahu langsung mempedulikannya atau ingin merahsiakannya dengan berpura-pura tidak wujud. Justeru tidak perlu ditangani, apatah lagi secara terbuka.
Sebaliknya, masalah ini sememangnya wujud sejak sekian lama, namun tidak pernah ditangani secara bersungguh-sungguh oleh mana-mana kerajaan yang memerintah. Keadaan kini semakin parah sehingga mungkin sukar dipulihkan, ibarat nasi sudah menjadi bubur.
Ini disebabkan keengganan etnik Cina misalnya, untuk bekerjasama dengan baik untuk menyelesaikan masalah ini dengan mendukung gagasan bahasa Melayu selaku bahasa negara sebagai aspirasi nasional yang wajib direalisasikan oleh mereka.
Etnik Cina setelah diberikan kerakyatan mudah oleh Melayu untuk terus tinggal di negara ini, selepas tamatnya penjajahan, bersetuju, malah berjanji untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini dilakukan pada Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya dikenali sebagai Kontrak Sosial.
Malangnya, sehingga hari ini perjanjian tersebut belum dilangsaikan sehingga kini kerana masih ramai etnik Cina yang tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, malah mereka terus mempertikaikan kepentingan dan peranan bahasa Melayu, khususnya pada era ini.
Dalam pada ini, titah daripada Ketua Negara berkenaan dengan proses pembentukan negara bangsa yang gagal, bukan sahaja, malah perlu diberi perhatian serius.
Antara titah baginda berkenaan rakyat Cina yang masih gagal menguasai bahasa Melayu walaupun berupa bahasa negara. Begitu dengan hal rakyat yang masih tidak memahami budaya kaum lain setelah begitu lama tinggal di negara ini.
Selain ini, Ketua Negara juga bertitah tentang keengganan pihak tertentu untuk menerima bahasa Melayu dan sejarah negara dalam dasar pendidikan negara. Untuk ini, rakyat dititahkan untuk menerima kedua-duanya dengan seadanya dalam apa-apa jua jenis persekolahan di negara.
Sebenarnya masalah kegagalan proses pembentukan negara bangsa sangat parah dan memerlukan proses pembentukan semula agar rakyat boleh diletakkan pada landasan betul kali ini.
Antaranya berkaitan persekolahan satu aliran sahaja di negara ini. Hal ini penting kerana petuanya bestari dengan kanak-kanak belajar bersama sewaktu kecil, akan membesar juga bersama.
Bagi menjayakan usaha ini, dicadangkan supaya operasi semua jenis sekolah rendah dihentikan dan digantikan dengan sistem persekolahan satu aliran. Namun, amalan terbaik daripada setiap jenis sekolah sedia ada perlu dikekalkan dan diterapkan dalam kurikulum serta sukatan pelajaran sistem baharu itu.
Unsur vernakular pula tidak akan dihapuskan, sebaliknya dikekalkan sebagai komponen pembelajaran dalam dua atau tiga mata pelajaran. Pengajaran menggunakan bahasa ibunda masing-masing turut diperluas kepada kelompok etnik lain, bukan terhad kepada dua kelompok seperti amalan sekarang.
Inilah gambaran awal sistem persekolahan satu aliran yang dicadangkan. Kerangka ini boleh diperhalus dari semasa ke semasa, namun perbincangannya tidak wajar terus ditangguhkan, khususnya apabila sistem pendidikan kebangsaan sedia ada masih belum mencapai matlamat penyatuan anak bangsa seperti yang diharapkan.
Kerajaan perlu mempunyai tekad politik untuk melakukan perkara yang sangat baik bagi negara tercinta ini. Walaupun tidak mahu dilakukan sebelum ini, namun kerajaan hari ini perlu mengambil langkah awal untuk memperbetul keadaan yang amat parah ini.
Proses pembentukan negara bangsa setelah hampir 70 tahun, tidak harus sebegini rupanya, seperti yang terhasil kini. Ia tidak berlaku di negara lain dengan rakyatnya yang tidak boleh berbahasa negara, tidak memahami cara hidup penduduk asal, tidak mahu menerima bahasa dan sejarah negara dalam sistem kebangsaan.
Semua pihak harus berjiwa besar untuk mengakui negara ini memang mempunyai masalah besar pada proses pembentukan negara bangsanya.
Oleh itu, ia harus diperbetul sesegera mungkin. Ini kerana negara ini tiada kedaulatan apabila keadaan rakyatnya yang tiada jati diri kebangsaan kental lagi terserlah. –UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
The post Perlu bentuk semula negara bangsa kita yang gagal appeared first on Utusan Malaysia.





