Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Sejarah negara bukan sekadar kisah yang kita belajar di sekolah, tetapi juga menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
Sebab itulah usaha mengumpul dan menyimpan rekod sejarah negara penting supaya segala maklumat berkaitan perjalanan pembentukan Malaysia tidak hilang ditelan zaman.
Terbaharu, Arkib Negara Malaysia (ANM) terus memperkukuh usaha tersebut apabila jumlah koleksinya meningkat daripada 3.14 juta fail pada 2023 kepada 3.22 juta fail pada 2026.
Perkembangan itu dikongsikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Bilangan 5 Tahun 2026 yang berlangsung di Arkib Negara Malaysia pada 21 Oktober.
Arkib Negara Peroleh 8,507 Fail Dari Luar Negara

Selain pertambahan koleksi sedia ada, ANM turut berjaya memperoleh sebanyak 8,507 fail dari luar negara pada tahun lalu.
Rekod berkenaan merangkumi bahan berkaitan Singapore, East Malaysia and Brunei, Malay States, Malaya dan Straits Settlements yang boleh membantu masyarakat memahami dengan lebih mendalam perjalanan pembentukan negara.
Dalam masa sama, usaha pendigitalan bahan sejarah turut menunjukkan perkembangan apabila sebanyak 47,659 imej didigitalkan pada 2025, manakala jumlah itu meningkat kepada 76,218 imej pada 2026.
Menurut Aaron, pendigitalan bahan arkib penting bagi memastikan khazanah sejarah negara terus terpelihara dan lebih mudah diakses oleh masyarakat.
“Dalam era teknologi dan kecerdasan buatan, bahan sejarah tidak boleh sekadar disimpan, tetapi perlu didigitalkan supaya dapat dikaji, dikongsi dan dimanfaatkan dengan lebih meluas oleh penyelidik, pelajar dan masyarakat.”
Pindaan Akta Arkib Negara Dijangka Dibentangkan Pada 2027

Dalam perkembangan berkaitan, ANM sedang melaksanakan cadangan pindaan Rang Undang-Undang Akta Arkib Negara 2003 [Akta 629] bagi memastikan undang-undang berkaitan pengurusan rekod dan pentadbiran arkib terus relevan dengan perkembangan teknologi digital.
Pindaan itu dicadangkan supaya turut mengambil kira perkembangan rekod elektronik termasuk e-mel, media sosial, pangkalan data serta kandungan yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
Langkah berkenaan juga bertujuan memperkukuh standard pengurusan rekod digital, termasuk aspek integriti, keaslian dan keselamatan bahan arkib.
Menurut Aaaron, ANM telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa kementerian, jabatan dan agensi berkaitan bagi meneliti cadangan pindaan tersebut.
“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa ANM turut sedang melaksanakan pindaan terhadap PeraturanPeraturan Arkib Negara (Penetapan Borang-Borang Bagi Pelupusan Rekod Awam) (Pindaan) 2026 bagi mengemas kini dan menambah baik borang-borang berkaitan pelupusan rekod awam.
“Peraturan-Peraturan Arkib Negara (Fi) (Pindaan) 2026 pula bertujuan mengemas kini fi sedia ada, memasukkan perkhidmatan baharu serta memberi kuasa pengecualian fi.”
Arkib@Sekolah Dan Arkib@Komuniti Bakal Diperkasakan
Bukan sekadar menyimpan dokumen lama, ANM turut merancang untuk mendekatkan sejarah negara kepada masyarakat melalui beberapa program yang berpotensi diperkasakan pada tahun hadapan.
Antaranya ialah program Arkib@Sekolah yang bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap sejarah negara. Program itu telah dilaksanakan di tujuh lokasi pada tahun lalu dan diperluaskan kepada 11 lokasi pada 2026.
Aaron turut mencadangkan supaya kerjasama strategik dijalinkan dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), khususnya melalui Kelab Rukun Negara di sekolah.
Selain itu, program Arkib@Komuniti juga akan terus diberi perhatian bagi menggalakkan orang ramai menyumbangkan bahan sejarah yang boleh dipelihara sebagai sebahagian daripada memori masyarakat.
“Pada 2025, sebanyak 5,068 bahan koleksi berjaya diperoleh daripada komuniti, manakala 4,081 bahan lagi diperoleh pada 2026.Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua individu serta komuniti yang telah menyumbangkan koleksi mereka.
Pameran Sejarah Dicadang Dibawa Ke Pusat Beli-Belah
Menariknya, usaha memperkenalkan sejarah kepada masyarakat turut dicadangkan untuk diperluaskan ke lokasi yang lebih dekat dengan orang ramai.
Aaron turut memaklumkan supaya ANM memberi tumpuan kepada penganjuran pameran di pusat beli-belah dan ruang awam yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi.
Antara idea yang diketengahkan termasuk pameran Tunku Abdul Rahman di Pavilion Bukit Bintang, pameran Tun V.T. Sambanthan di KLCC dan pameran Tun Jugah di Mid Valley.
Kerjasama dengan kumpulan pengendali pusat beli-belah seperti IOI Properties, Pavilion Group, Tropicana dan Mid Valley juga boleh diterokai bagi menjayakan pendekatan tersebut.
Dalam pada itu, Program Mengenang Negarawan yang memberi penghormatan kepada tokoh-tokoh penting negara turut dicadangkan untuk diteruskan pada 2027, dengan memberi penghormatan kepada Tun Hussein Onn, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.
“Kesemua inisiatif ini dilihat bukan sekadar program berkaitan arkib, sebaliknya berperanan membantu membina identiti nasional dan memperkukuh semangat negara bangsa.
“Usaha memelihara sejarah negara juga diharap dapat memastikan khazanah warisan Malaysia terus terjaga, selain memberi peluang kepada generasi akan datang untuk mengenali dan memahami sejarah negara dengan lebih dekat.”
Sumber: Siaran Media Kementerian Perpaduan Negara
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





