Perlu didik murid, jangan anggap cuci tandas kerja tukang cuci – PM Anwar

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 4:52 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua murid sekolah perlu dididik untuk menjaga kebersihan termasuk membersihkan tandas sebagai sebahagian daripada pembentukan disiplin dan jati diri sejak di bangku sekolah.

Beliau berkata, amalan tersebut tidak wajar dipertikaikan kerana ia tidak berkaitan dengan status atau latar belakang keluarga, sebaliknya melibatkan tanggungjawab bersama dalam menjaga kemudahan yang digunakan secara harian.

Menurutnya, masih wujud segelintir ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu di media sosial, namun ia tidak seharusnya dilihat sebagai isu kelas dalam masyarakat.

“Tapi saya faham ada juga segelintir ibu bapa yang membantah perkara itu di media sosial. Jadi saya nak bagi nasihat lah, semua anak-anak kita ini tanpa kecuali, bukan golongan bangsawan semua. Semua kita dalam tanggungjawab, tandas kita guna dan kita perlu bersihkan ya,” katanya.

Image from: Perlu didik murid, jangan anggap cuci tandas kerja tukang cuci – PM Anwar

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tugas mencuci tandas bukanlah kerja yang terlalu berat untuk dilaksanakan oleh pelajar, malah boleh menjadi latihan penting dalam membentuk sikap bertanggungjawab.

Sebelum ini, beliau mengarahkan semua sekolah melaksanakan jadual mencuci tandas melibatkan murid sebagai usaha memastikan kebersihan fasiliti sekolah sentiasa terjaga selain mendidik nilai disiplin dalam kalangan pelajar.

Image from: Perlu didik murid, jangan anggap cuci tandas kerja tukang cuci – PM Anwar

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima reaksi bercampur daripada segelintir ibu bapa yang berpendapat tugas itu tidak sepatutnya dibebankan kepada murid kerana tujuan utama ke sekolah adalah untuk belajar.

Sumber: Utusan Online (Mohd. Husni Mohd. Noor)