
LABUAN: Lambakan nanas di Sabah menunjukkan keperluan agensi berkaitan memperkukuh sistem pemasaran dan pengedaran supaya bekalan berlebihan di sesebuah daerah dapat disalurkan ke kawasan yang mengalami kekurangan.
Aktivis Abdul Jalil Ghani berkata masalah itu perlu ditangani segera kerana jika berlarutan, pekebun kecil akan terjejas, hilang semangat untuk mengusahakan tanaman berkenaan dan boleh menimbulkan masalah lain.
Beliau berkata usaha Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar menggalakkan petani luar bandar mengusahakan tanaman makanan bagi meningkatkan taraf hidup mereka adalah wajar dipuji.
Bagaimanapun, katanya, petani terbabit boleh hilang semangat sekiranya hasil tanaman tidak dapat dipasarkan.
“Nanas merupakan buah yang popular, seperti dapat dilihat menerusi jumlah eksportnya, antaranya kerana ia boleh dinikmati dalam pelbagai cara.
“Ia boleh dihidangkan sebagai pencuci mulut, dimakan segar apabila masak dan turut digunakan dalam masakan kari,” katanya.
Jalil berkata nasib pekebun kecil tidak seharusnya dipandang ringan sebaliknya perlu diselesaikan dengan memperkukuh strategi pemasaran.
Beliau berkata di Labuan, nanas mendapat harga yang baik, iaitu sekitar RM10 bagi sebiji buah yang cukup matang.
“Ketika Labuan masih di bawah Sabah, aliran buah-buahan seperti durian dan sebagainya tidak berdepan sekatan. Namun, selepas Labuan menjadi Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) ditubuhkan serta permit import diperlukan, kemampuan akses pantas kepada buah-buahan dari Sabah berakhir.
“Peraturan baharu itu mencetuskan bantahan sehingga Kementerian Pertanian campur tangan dan menyesuaikan semula peraturan berkenaan,” katanya.
Jalil berkata perkara itu menunjukkan perlunya sistem yang pantas kerana nanas merupakan hasil pertanian yang mudah rosak.
Daily Express sebelum ini melaporkan pekebun kecil nanas kecewa berikutan lambakan buah berkenaan.

