
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, isu melibatkan pelarian di Malaysia khususnya Rohingya sering menjadi topik hangat.
Malah baru-baru ini, isu ini turut mendapat liputan media antarabangsa selepas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menzahirkan rasa bimbang dengan program penghantaran pulang pelarian Myanmar yang dilakukan oleh Malaysia.
Namun kenyataan UNHCR menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah rakyat Malaysia yang mencadangkan agar mereka tidak mencampuri urusan negara.
Perlu Runding Dengan PBB Jika Mahu Henti Peranan UNHCR – PM
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan usaha untuk menghentikan fungsi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam urusan pendaftaran pelarian di Malaysia perlu dibuat menerusi rundingan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini kerana tegas Anwar, peranan UNHCR di negara ini merupakan legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu.
Ia sekaligus menyebabkan sebarang pindaan peraturan mengenai keadaan ini akan mengambil masa.
“Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengenepikan peraturan antarabangsa.
“Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian),” katanya.
Anwar berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sewaktu menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai cara kerajaan untuk tidak membenarkan UNHCR mengeluarkan kad pelarian.
Sebaliknya jelas Hamzah, tanggungjawab itu perlu diambil alih oleh kerajaan atau Kementerian Dalam Negara (KDN).
Malaysia Akan Terus Berunding Dengan Myanmar Berkaitan Isu Pelarian & PATI
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa Malaysia akan terus mengadakan rundingan bersama Myanmar agar isu berkaitan pelarian serta pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat diselesaikan.
“Kita mesti sedia berunding. Kita tidak ambil pendekatan seperti Amerika Syarikat (AS) atau Eropah yang keras, tidak mahu berunding sama sekali dengan Myanmar.
“Kita ambil pendirian secara bebas, berunding untuk menyelesaikan masalah dalam negara kita, yang jika tidak ditangani, akan merebak menjadi masalah keselamatan yang serius dalam kalangan rakyat,” katanya.
Kerajaan Hasrat Kurangkan Kebergantungan kepada UNHCR, Keupayaan Negara Urus Pelarian & Pencari Suaka Semakin Baik
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pernah menjelaskan bahawa kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap UNHCR dalam urusan pelarian secara berperingkat.
Ini kerana jelasnya, keupayaan negara untuk mengurus pelarian serta pencari suaka dilihat menjadi bertambah baik.
Tambah Mohamad atau Tok Mat, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kajian semula terhadap operasi, skop dan fungsi pejabat UNHCR di Malaysia.
Malah, ia selaras dengan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) di mana objektifnya adalah untuk memperkukuhkan lagi mekanisme pengurusan pelarian yang dilaksanakan sendiri oleh kerajaan.
Baca Artikel Berkaitan: UNHCR Bimbang, SUHAKAM Gesa Hentikan Selepas Malaysia Hantar Pulang Lebih 1,000 Pelarian Myanmar
Baca Artikel Berkaitan: “Tutup Pejabat UNHCR Di Negara Ini Jika Enggan Bekerjasama Urusan Pelarian” – Tok Mat
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Dedah 10,000 Warga Myanmar Telah Dihantar Pulang Sejak Januari 2026






