Suhakam gesa kerajaan henti penghantaran pulang pelarian Myanmar

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 11:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Suhakam gesa kerajaan henti penghantaran pulang pelarian Myanmar

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan menghentikan sebarang usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar.

Suhakam berkata, perkara ini kerana situasi perang saudara dan keganasan yang masih berterusan di Myanmar, selain situasi hak asasi manusia yang semakin memburuk.

Katanya, adalah sesuatu yang lazim dalam undang-undang antarabangsa bahawa pelarian tidak sepatutnya dihantar pulang ke negara asal mereka sekiranya berdepan risiko nyata penganiayaan, penyiksaan atau bahaya serius lain.

“Prinsip itu mengikat semua negara tanpa mengira sama ada mereka merupakan pihak kepada Konvensyen Pelarian atau tidak. Ini bermakna Malaysia, walaupun bukan pihak dalam Konvensyen Pelarian, terikat mematuhi prinsip tersebut.

“Justeru, Malaysia dilarang oleh undang-undang antarabangsa daripada menghantar pulang mana-mana pelarian atau pencari suaka ke Myanmar sekiranya terdapat risiko munasabah nyawa atau kebebasan mereka akan terancam disebabkan ras, agama, kewarganegaraan, keahlian dalam kumpulan sosial tertentu atau pegangan politik.

“Sebarang pelanggaran terhadap prinsip teras berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia memulakan fasa pertama program penghantaran pulang pada Selasa, melibatkan kira-kira 5,000 pelarian Myanmar dengan seramai 1,476 dihantar pulang menaiki tiga kapal kapal perang tentera laut negara itu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, jumlah terbabit merangkumi 27 kanak-kanak, iaitu 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Malaysia bakal menghantar pulang 3,524 lagi warga Myanmar dalam fasa kedua program tersebut, dengan tarikh yang akan disahkan kemudian pihak Myanmar.

Dalam pada itu, Suhakam turut mempersoalkan perkara berkenaan dengan membangkitkan kepastian keputusan tersebut.

Katanya, keputusan penghantaran mesti ditentukan pihak berkuasa bebas seperti agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk  Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)  dan bukannya imigresen.

“Suhakam menyeru kerajaan memastikan tiada lagi penghantaran pulang ke Myanmar dilakukan tanpa penilaian sewajarnya oleh pihak berkuasa bebas berhubung keperluan perlindungan serta risiko yang mungkin dihadapi setiap individu apabila kembali ke sana.

“Pihak berkepentingan dalam perlindungan antarabangsa yang berkaitan juga perlu diberikan akses bersesuaian bagi membantu mengenal pasti mereka yang memerlukan perlindungan.” ujarnya.-UTUSAN

 

The post Suhakam gesa kerajaan henti penghantaran pulang pelarian Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved